Saturday, May 5, 2007

HJ ABDULLAH HJ YASSIN

Tuanku Nai Long Abdullah ibni Tuanku Nai Long Hj Yassin,
Penghulu Mukim Tualang, Kedah.

Seawal usia 5 tahun aku masih ingat Wan (datuk dipanggil Wan sementara nenek,opah dipanggil tok) yang berkerja didalam pejabat dirumahnya di Kg Tualang Kedah. Orang-orang kampung akan berkunjung dan membawa pelbagi masalah mereka dari hal tanah sawah hingga ke bab rumahtangga. Wan tidak tinggi orangnya, berambut, bermisai dan berjanggut putih kerana sudah beruban semenjak muda-muda lagi, selalu berbaju panas pagoda dan bekain pelikat apabila bersantai dirumah. Dari pengamatan aku, dia memang sangat dihormati dikalangan penduduk kampung. Kalau aku datang dari Alor Setar, aku akan singgah di Pekan Langgar, belikan suratkhabar jawi (Utusan Melayu) untuknya. Apabila sampai di kampung dia pasti akan panggil nama aku dari anjung rumah lagi, belum pun sempat aku turun kereta. Kelihatan mimik kegembiraan diwajah yang telah dimamah usia itu.

Kadang kala di adakan majlis kenduri tahlil menyambut sesuatu perayaan agama Islam. Jumlah yang hadir dikalangan penduduk kampung amatlah ramai, dengan balai didirikan didepan rumah, maklum sajalah rumah datuk penghulu. Kami cucu ni, memang dilarang bermain di pejabat Wan, jangan ganggu tok wan berkerja, kata emak. Menjelang tahun 1969, pejabat itu menjadi semak tidak terurus lagi. Kami boleh masuk kedalam pejabat itu sesuka hati dan tok pun tak melarang kami lagi seperti dulu. Tok Wan memang tak laranglah, sebab dia tak pernah marah pun cucu-cucunya.Rupa-rupanya Wan dah pencen, patutlah. Bercakap pasal cucu-cucu wan ni, ramai yang pandai-pandai belajar sampai ke universiti luar negara pun ada, ramai pula tu. Kalau berkerja kampung, murah rezeki sebab hasil sawah padi memang tak habis makan, terutama sekali kawasan Bendang Raja di Titi Haji Idris, tinggalan nenek moyang dulu-dulu.

Pada usia aku 15 tahun, sewaktu cuti sekolah, aku selalu pulang kekampung di Tualang, bermalam dengan Tok Wan dan Tok di kampung.Tiba hampir waktu maghrib, wan akan buka kandang kambing dan mengambil lembunya yang diikat dipadang rumput. Kadang-kadang dia akan bagi lembu minum kicap, supaya mencernakan perot lembunya itu. Aku akan tolong pasangkan pelita geselin kat dapur. Selepas isya wan akan bercerita tentang sejarah Kedah, waktu pemerintahan Jepun dan sebagainya. Suka betul tengok dia berdiri tegak menyanyikan lagu jepun.

Wan mempunyai pengetahuan yang luas tentang salsilah kerabat diraja Kedah ketika itu. Semuanya dia tahu, siapa berkahwin dengan siapa dikalangan kerabat di raja Kedah ada didalam genggamannya. Katanya dia pernah membawa Sultan Kedah sekarang ni, Sultan Abdul Halim pikat burung, tengok sabung ayam dan berjumpa dengan orang-orang kampung semasa muda-muda dahulu. Sultan Badlishah pun selalu berkunjung ke rumah ayahnya di Tajar, Pendang Kedah. Hairan juga aku. Kenapa Sultan Kedah datang berjumpa dengan ayah wan, tok nek Yassin dan abang wan, Penghulu Mahmud di Tajar dulu. Dia turut menceritakan tentang neneknya, Nek Riam @ Nai Riam (hari ini saya ketahui sebagai Datuk Nai Mariam, Permaisuri Sultan Idris, Raja Patani) yang menggorek terusan dan zaman thai menjajah Kedah dulu dimana semua orang kampung hidup dalam ketakutan. Aku jadi terpegun mendengar ceritanya yang telah diperturunkan dari satu generasi kesatu generasi yang lain.

Kaum kerabatnya habis membuang nama dan pangkat, tak bagi orang tau asal usul keturunan, sebab cara thai menggunakan spy dan membunuh satu-satu orang itu termasuklah anak cucunya sekali. Sekarang ni, tambahnya lagi, kita dah merdeka dah, apa perlu ditakutkan lagi. Wan pernah berkata, “dah la depa (mereka) buang kita ni ketepi, harta pesaka kita depa kata depa punya, yang sejarah orang kita hari ini depa pi tukag buat apa”, ujar nya bak keluhan. Aku tak berapa faham rungutannya pada masa itu, mungkin satu hari kelak aku akan faham, insyallah, bisik hati kecil ku.

Wan juga boleh menceritakan keturunannya sebanyak 5 generasi keatas. Yang aku ingat masa tu, dua nama disebutnya iaitu Syed Alang Alauddin dan Long Jaafar. Suatu hari Wan bertanya kepada aku, “Hang ada belajar pasal Long Jaafar disekolah?”, “Ada Wan”, jawap aku dengan penuh yakin. “Dia buat apa?” Mudah je jawapan nih, fikir aku, “Dia jumpa bijih timahlah Wan”. “Lagi?” “Takdak dah kot, Wan. Buku sejarah tak cerita apa lagi dah lepas tu pasal dia”, dia lantas menjawap, “Hang pi belajar lain sejarah tu, tak betul tu”. Aku hairan, lagi pandai rupanya tok wan aku ni.

Dia berkata lagi, “Tok Wan kepada Wan dulu, puak Thai nak bunuh dia, depa tikam dia dengan keris, dengan parang tak lut, tak mati. Lepas tu depa ambik gajah dia pijak baru mati. Nama dia Long Jaafar”. Hebat tok nek aku dizaman dulu ni, bisik hati kecil aku, pijak pun tak mati, tapi betul kecerita ni. Hal ini aku akui kebenaranya 30 tahun kemudian nanti.

Pada suatu Hari Raya Haji aku dengan Wan pergi sembahyang raya di masjid Kg Tualang. Selepas sembahyang raya, Wan panggil aku ikut dia ziarah kubur tok nenek dia. Aku tengok batu-batu nesan tu besar-besar dan pelik rekabentuknya. “Mai sini”, “hang ingat ni, ni kubur Sultan Jaafar, ini bapa dia Syed Alang Alauddin, kubur bertindan, yang ni bapa dia Sultan Madzaffar Syah III dan yang ini Khalifah Syarif Abu Bakar Syah, Raja Ayuthia”. Wan duduk dan membaca doa sambil menitiskan air mata pada 2 pasang nesan yang pelik rekabentuknya. “Ni kubur bapa Wan, tok nek Yasin hang, yang tu mak wan, tok isau (Tengku Isau) dan yang ini abang wan, Penghulu Mahmud”, ujarnya. Aku simpati kepadanya kerana pada usia 70an dia menangis keanak- anakan didepan satu-satunya cucu yang ada bersamanya ketika itu. Entah apa yang difikirkannya

Aku masih ingat lagi semasa aku di tingkatan empat, sekolah aku mengadakan lawatan ke Melaka. Dalam perjalanan kami singgah untuk melihat istana Kuala Kangsar. Tour guide kami dari kerabat diraja Perak membawa kami naik ke tingkat atas, melihat eletrik band kat tingkat atas. Semasa kami menaikki tangga, dia berkata,“Ada terbau wangi tak? Kalau ada, itulah penjaga istana ini. Kalau siapa yang ada terbau wangi tu bagus lah, pasti ada kelebihan”. Aku buat tak tahu je, belum pun sempat habis menaikki tangga sampai ketingkat atas aku terbau wangi sepintas lalu. Lantas aku bertanya kepada rakan disebelah samada dia terbau wangi itu. Dia jawap tidak, begitu juga rakan-rakan lain . Bila dah balik semula ke Kedah aku ceritakan pengalaman aku kat wan. Jawapan dia mudah je, “Tok nek hang dulu, Sultan Madzaffar Syah III bersemayam di istana Kuala Kangsar”. Lagi aku tak faham,tu bukan jawapan yang aku cari ketika itu.

Sebulan sekali Wan akan pergi ke Alor Setar untuk mengambil pencennya sebagai penghulu. Dia akan memakai baju pagoda lengan pendek, berkain pelikat, memakai tali pinggang haji, dan kot hitam.Akhir sekali tidak lupa payong ceti dan bersongkok hitam. Wah, ada stail wan aku ni, macam aristokrat Melayu zaman dulu-dulu.!! Dia tidak menaikki bas tapi keretanya jenis Hillman Minx bernombor K 7287 yang dibeli dari Menteri besar Kedah yang pertama dulu, sekitar tahun 1957, dipandu oleh Long Soda (Syahadah), anak lelaki Wan yang sulong. Duduknya bukan didepan tapi dibelakang dengan tangan kanan diatas. Setelah tamat universiti aku berkerja di KL dan kalau aku balik ke Alor Setar aku akan pergi meziarahi Wan dan Tok di Tualang pada hari khamis, sebab hari itu ada pekan Nat (pasar pagi hingga tengahari). Wan pasti akan bertanya nak makan apa, dan dia akan belikan, tok pulak akan tolong masakan.

Tok pula rajin membuat kerja kampong seperti menanam padi, menjemur padi, melepaskan kambing, memotong getah, bak kata orang tak tau duduk diamlah. Malam dia akan pergi dengar bacaan kitab. Cuma di akhir-akhir hayatnya dia lemah lutut dan tak boleh berjalan lagi. Wan meninggalkan kami sekeluarga sekitar pertengahan Disember 1987, dan tok pula pada bulan jun 2000. Dia meninggal sewaktu mahu mengambil air sembahyang untuk bersembahyang Isya. Aku baru saja pulang ke Alor Setar setelah bercuti panjang. Malam itu aku pun sudah siap mahu kesana, berjumpa dengan wan, malah aku sedang mengunci pintu rumah apabila mendapat panggilan talipon dari Long yang Wan sudah pulang kerahmatullah. Hari ini bila aku tahu segalanya mengenai salsilah mereka berdua, hati aku merasa sedih dan terharu. Rupa-rupanya Wan adalah cucu kepada Sultan Jaafar Mad Azam Syah yang mati dibunuh Inggeris di Gurun Kedah dalam tahun 1876 dahulu.

Tahun ini masuklah 50 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Aku tidak harus lagi mendiamkan diri kerana sejarah yang aku terima sebagai wasiat dulu benar-benar berlaku. Ia perlu di riwayatkan semula sebab bagi aku ia satu dosa besar jika sekiranya aku melindungi kebenaran ini, demi memastikan masyarakat kita hari ini tidak buta sejarah, tidak dilenyapkan peradaban dan ketamadunan Melayunya, berbangga menjadi bangsa Melayu, satu bangsa yang dulunya memerintah dari Myanmar hingga ke Timor Leste, Filipina dan Australia di bawah Benua Islam Siam Nagara Kedah seperti kata nenek saudara aku, Datuk Laksemana Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia”.


anaianai