Sunday, July 1, 2007

JANGAN JADI MANUSIA LUPA SEJARAH

uploaded by anaianai


KUALA LUMPUR, 28 Jun 2007 (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengingatkan rakyat supaya jangan menjadi manusia yang lupa pada sejarah bagi menentukan identiti bangsa serta kedaulatan negara dapat terus dipertahankan sampai bila-bila.

Perdana Menteri berkata manusia yang lupa sejarah satu hari nanti akan kehilangan identitinya kerana dia tidak pernah membentuk dan menjaga peribadi serta jati dirinya daripada dipengaruhi oleh desakan dan cabaran.

Beliau berkata sejarah banyak memberi pengajaran kepada manusia tentang kehidupan lampau di samping membuka jalan dalam mencari kehidupan masa depan yang lebih baik.

Abdullah berkata sebaliknya mereka yang lupa sejarah tidak lagi peduli tentang asal usul mereka dan tidak lagi mementingkan bahasa dan budaya asalnya.

"Dia tidak dikenali lagi kerana pada dirinya tidak ada lagi ciri-ciri yang ada hubungkait dengan yang apa dipanggil kebudayaan dan kesenian bangsa," kata Perdana Menteri ketika merasmikan persidangan Media Massa 2007 anjuran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di sini.

Abdullah juga berkata orang yang lupa sejarah juga tidak mempunyai rupa bangsa kerana dia akan membiarkan dirinya hanyut dengan segala pergolakan dan arus yang sentiasa melanda dirinya serta negara.

Katanya manusia yang lupa sejarah juga akan bersikap materialistik, mementingkan dirinya sendiri dan tidak peduli apa yang berlaku pada orang lain asalkan dirinya sendiri selamat.

Abdullah berkata sejarah juga banyak memberi pedoman serta panduan untuk menerokai jalan-jalan baru sedangkan mereka mereka yang lupa sejarah akan hilang pedoman serta arah tuju.

Perdana Menteri berkata mereka juga akan menuntut kebebasan mutlak pada diri serta golongannya sahaja tanpa mengambil kira hak serta kebebasan orang lain.

Sebagai contoh, katanya, setiap orang bebas berbuat sesuatu dalam rumah sendiri tetapi kebebasan itu tidaklah sampai mengganggu ketenteraman orang lain yang tinggal bersebelahan.

Abdullah berkata kebebasan mempunyai sekatan tertentu dan tidak ada kebebasan yang mutlak kerana kita bukan hidup dalam alam haiwan yang bertindak semata-mata kerana berasa hendak bertindak.

"Manusia yang berbeza dengan haiwan, boleh fikir apa yang baik atau tidak baik. Boleh fikir untuk diri sendiri dan orang lain.

"Kita adalah satu bangsa yang ingin maju dan berjaya. Kita ada peranan kita masing-masing...yang penting utamakan musyawarah kerana itu amalan demokrasi, kesusilaan, ketertiban di mana akhirnya perpaduan yang ditegakkan di atas prinsip-prinsip inilah yang akan menjamin masa depan yang baik," katanya.
Sumber : BERNAMA

No comments: