Tuesday, July 17, 2007

IDEOLOGI KOLONIAL NAFIKAN IDENTITI

Oleh A. MURAD MERICAN

DALAM usaha mengkaji dan mencari naratif baru mengenai penempatan Melayu di Pulau Pinang sebelum kedatangan Francis Light, soalan-soalan dengan nada sinis dilemparkan seperti meminta bukti, dan fakta.

Malah, terdapat salah tanggapan tentang siapa yang dulu. Persoalannya bukan siapa dulu. Siapa buka Pulau Pinang dulu tidak relevan. Itu mainan cerita yang lapuk.

Dengan tidak disengajakan, ialah telah melagakan beberapa orang sarjana, pengkaji dan waris yang diajukan soalan-soalan seolah-olah ada pertikaian. Tidak ada pertikaian sebenarnya. Siapa dulu tidak penting. Soalan siapa dulu mencerminkan pemikiran yang masih dijajah, pemikiran yang dibelenggu oleh ilmu kolonial, pemikiran yang mementingkan siapa pengasas, dan pemikiran yang mengandaikan orang-orang tempatan tidak mempunyai sejarah dan tamadun sebelum kedatangan Eropah.

Akibatnya terdapat reaksi daripada pihak-pihak tertentu yang menegakkan teori pengasas, dan seterusnya mengekalkan persejarahan yang tersedia ada. Jika begitu, kita boleh tafsirkan bahawa sebahagian besar sejarah Kedah telah dipinggirkan oleh persejarahan kini.

Kita mesti ingat bahawa konsep-konsep imperialisme dan kolonialisme merentasi pelbagai disiplin pada pelbagai tahap, dan sering kali dengan maksud yang diterima tanpa soal. Penekanan kepada wacana alternatif bagi menangani Eurosentrisme dan bentuk pengetahuan Orientalisme belum lagi merangsang pemikiran para intelektual di Malaysia. Lihat saja buku Orientalisme (1978) oleh mendiang sarjana Palestine Edward W. Said. Terjemahan buku itu ke bahasa Melayu pun belum lagi wujud dalam gagasan kesedaran pemikiran nasional.

Masalah yang kita hadapi kini lebih besar daripada kajian siapa lebih dulu ke Pulau Pinang. Ini adalah kerana ideologi kolonial telah menafikan identiti, budaya dan pandangan alam kita. Jika ini berlaku, bagaimanakah dapat kita memahami masa lalu (yang lebih lama dari ulang tahun Malaysia selama 50 tahun), menangani masa kini dan menilai masa depan?

Kita mesti berdepan dengan sejarah dan menebus semula masa lalu sebagai sebahagian dari proses dekolonisasi pemikiran. Seperti biasa, usaha ini juga akan dicabar.Sejarah yang mendominasi persejarahan Malaysia masih lagi wujud dalam takuk ilmu kolonial. Paradigma kolonial juga telah mencipta wilayah geopolitik dan serantau yang kita labelkan sebagai ‘Asia Tenggara’ dan di dalamnya wujud negara-bangsa baru pascakolonial seperti Malaysia dan Indonesia.

Implikasinya ialah terpinggir dan tersasarnya sejarah yang berusia beribu tahun kerana mengikut persejarahan dominan, sejarah negara hanya bermula selepas kuasa Eropah tiba di rantau ini. Jelas, dalam kita menghampiri ulang tahun kemerdekaan yang ke-50, kita memerlukan sebuah naratif yang baru bagi sejarah negara.

No comments: