Tuesday, July 10, 2007

SEJARAH, KAEDAH PENGKAJIAN DAN MASYARAKAT

Oleh anaianai 1, anaianai 2, anaianai 3, anaianai 4

Sejarah negara kita banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif yang dipolemikkan oleh mereka-mereka yang lebih awal mengikut rentak penjajah dan gaya hidup mereka. Penjajah barat yang datang menjajah juga menggunakan kebudayaan barat untuk dijadikan kayu pengukur mengenai tahap kemajuan sesuatu bangsa itu. Sekiranya sesuatu bangsa itu menggunakan adat istiadat timor, kebudayaan setempat atau hukum-hukum Islam sebagai rujukkan, maka barat yang menjadi penjajah dizaman dahulu menggangap bangsa itu sebagai kolot dan ketinggalan zaman.

Di Eropah kemunculan Revolusi Perindustrian juga telah merubah pandangan masyarakatnya terhadap perkara-perkara keagamaan dimana gereja diketepikan sementara logik dan sains mengambil alih peranan ketuhanan. Dengan penemuan sains dan teknologi di Eropah, penjajah disini memandang rendah kepada gaya hidup tempatan seperti makan bersila, menggunakan jari untuk menyuap, gaya berpakaian kita sebagai kolot dan mundur. Demi memberi ruang serta laluan kepada arus yang dipanggil kemodenan, mengelak dihina mahu pun dipandang rendah oleh penjajah barat ketika itu, ramai dari pembesar kita merubah gaya hidup mereka kepada yang kononnya dianggap universal dan terkini iaitu gaya hidup barat.

Konflik sebegini juga turut berlaku di Jepun, antara golongan samurai yang kuat berpegang kepada adat resam dan golongan nasionalis yang berpakaian seperti orang Barat dan menerima cara hidup Barat, begitu juga di Thailand dibawah Raja Mongkut(lihat Anna and the King). Di negara kita pula, mereka yang mengikut rentak penjajah ini diberi laluan, peluang dan ruang, seperti jemputan ke majlis pertabalan ratu England, di beri gelaran maharaja, pingat-pingat kebesaran, perluasan tanah jajahan dan sebagainya. Pada masa yang sama penjajah secara halus merampas kekayaan milik pribumi melalui elaun-elaun kepada mereka yang berkuasa lalu dari keuntungan berlipatganda itu mereka mendirikan rumah-rumah mewah dan ‘castle’ yang masih boleh dilihat hingga kehari ini di negara mereka.

Namun hari ini ‘Great Britain’ bukan ‘Great’ lagi dan British Empire sudah pun lenyap ditelan zaman. Hari ini juga kita tercari-cari kembali apakah identiti sebenarnya kita yang dilepaskan oleh generasi kita terdahulu, apakah ia kebolehan berniaga, kepakaran berbahasa, industri pembuatan dan binaan bangunan, persahabatan akrab dan bermacam-macam lagi. Terlalu banyak yang tercicir hari ini sehinggakan kita tidak tahu lagi apa hubungan Merong Mahawangsa dengan Banjaran Titiwangsa, semudah itu sahaja.

Disini, secara menyeluruh saya tidak mengatakan semua teori dari barat itu tidak baik dan tidak sesuai, akan tetapi seharusnya kita dizaman penjajah dahulu dibenarkan menilai dan membuat keputusan sendiri samada bersetuju menerima atau tidak sesuatu yang baru. Apa yang berlaku, soal hak kita sebagai satu bangsa melayu yang bertamadun diketepikan dan kita seolah digula-gulakan secara paksa (walau ada yang jadi pak sanggup) untuk menerima apa saja kehendak penjajah ini. Sebelum merdeka kita memang mengikut demi kemajuan kita untuk melahirkan pemimpin yang kemudiannya menuntut kembali kemerdekaan negara. Lagipun ketika itu ‘the way forward is to get an English education’ barulah di pandang tinggi. Hari ini setelah 50 tahun merdeka kita sepatutnya tidak lagi menurut kehendak mereka akan tetapi lebih pandai menilai dan membuat keputusan buruk baiknya sesuatu perkara itu dalam konteks keperluan masyarakat dan negara kita.

Dalam menjalankan kajian sejarah, membuat penulisan mengenai sesuatu yang telah diketahui bukanlah penemuan baru kerana ia kekurangan keaslian (it lacks originality) dan kreativiti. Penulisan di blog ini adalah bertujuan untuk kita sebagai rakyat Malaysia hari ini berfikir secara logik mengenai kekebalan, kecekalan, ketabahan, jati diri, bangsa melayu di suatu kita dahulu dalam menempuh cabaran sezaman. Sebagai researcher, perlu ada maklumat dari primary data (temuduga lisan) dan secondary data (rujukkan). Penyelidikkan dalam primary data telah menemukan saya dengan beberapa orang yang berusia 60tahun keatas yang mana nama mereka enggan disebut kecuali beberapa orang sahaja. Mereka amat arif menceritakan semula sejarah tanpa buku rujukkan dan semakan (cross referance) saya kemudiannya, mengenai apa yang diceritakan oleh mereka terbukti ada kebenarannya.

Sesetengah pihak yang menghantar e mel kepada saya mengenai primary data ini sebenarnya jahil tentang cara dan kaedah penyelidikkan dan kononnya mahukan saya hanya mengharapkan buku-buku (yang ditulis dari kaedah yang sama) sebagai rujukkan. Ini bukan membuat penyelidikkan namanya sebab sudah pasti tidak akan ada penemuan baru. Saya menjalankan penyelidikkan mengikut cara yang saya fikirkan paling sesuai untuk mencapai objektif saya, biar keluar dari batas norma yang ada. Lagi pun kalau tak dengar dari mulut orang, nak dengar dari mulut siapa lagi? Walaupun saya sedia menerima kritikan yang membina, kritikan yang jahil bolehlah disimpan untuk orang lain yang sanggup menjadi pak turut dalam penulisan semula sejarah bangsa ini.

Seperkara lagi, blog ini menceritakan pasal sejarah serantau secara am dan lebih spesifik sejarah tempatan di negeri Kedah. Sejarah tempatan, samada suka atau tidak sedikit sebanyak menyentuh sejarah negara jiran sebab dulunya tiada sempadan disitu. Kedah atau Saiburi lebih luas kawasannya malah batu penanda pun lebih jauh keatas (lihat blog naim firdausi). Penjajah yang wujudkan sempadan tersebut (perjanjian 1910) dan bagaimana mungkin hendak menceritakan sejarah jika ada sempadan, padahal dizaman dahulu masyarakat kita bebas bergerak dan bercampur tanpa masalah. Penjajah Inggeris memninggalkan kita 50 tahun yang lalu. Di tinggalkan kepada kita daki-daki penjajahan mereka untuk kita bersihkan. Haruskah kita menyimpan daki-daki tersebut?

Kerajaan Thailand juga kehilangan banyak wilayah kepada penjajah (Burma dan Kemboja) walaupun mereka cuba berbaik-baik dengan penjajah. Bagaimana mungkin sejarawan mereka menceritakan semula sejarah sekiranya ada sempadan seperti hari ini. Sejarah pasti tidak akan terungkai. Yang penting (kami ulang sekali lagi) penulis-penulis diblog ini menulis secara ikhlas mengenai sejarah lalu dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik, pemisah atau penyambung, baik didalam negara mahu pun luar yang melakukan kerosakkan. Sesiapa pun boleh singgah untuk membaca sejarah diblog ini. Kekusutan sejarah inilah yang menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini, tidak puas hati, dengki, syak wasangka, bunuh membunuh dsbnya. Padahal kita semua dulunya senegara, sebangsa, serumpun cuma berlainan dari segi agama sahaja tetapi ini tidak menghalang kepada perpaduan dan kerjasama dalam masyarakat setempat. Hari ini kita dapat lihat langkah terbaik usaha kerajaan Malaysia dan Thailand memulihkan keadaan dengan membuka pintu sempadan baru, pembukaan waktu sempadan lebih lama, memberi latihan asas dan membuat perundingan.

Pada masa yang sama, saya juga menerima banyak emel dari mereka-mereka yang puas mencari roots mereka dalam sejarah negara dan hanya menemui jawapannya di blog ini.Terima kasih kerana berhubung dengan saya dan saya akan cuba balas e mel saudara/i. Buku-buku sejarah kita tidak menceritakan sejarah yang diperkatakan di blog ini bagi menutup kepentingan peribadi pihak berkuasa ketika itu malah sewaktu sejarah bangsa hendak ditulis mereka inilah (pihak berkuasa ketika itu) yang dijadikan sumber rujukkan. Dengan itu sejarah juga ditulis dalam versi mereka. Rakyat setempat yang menempuh pelbagai kesusahan hidup ketika itu tidak langsung dirujuk. Oleh itu jawapan untuk rakyat tidak ada dalam buku sejarah hari ini. Penulisan di blog ini merujuk kepada kedua-duanya sekali dan ia sekali gus adalah versi rakyat tempatan juga (bukan luar).

Primary data adalah sumber asli, yang ‘original’, pengalaman yang pernah dilalui oleh seseorang atau diriwayatkan oleh mereka yang terdahulu. Untuk bertemu dengan mereka bukanlah mudah, lebih-lebih lagi meyakinkan mereka agar menceritakan semula pengetahuan mereka. Di tahun 70an dahulu researcher kita amat bernasib baik kerana dapat menemuduga Mat Kilau yang ditemui masih hidup di Pahang dan membetulkan kembali maklumat sejarah bangsa. Siapakah kita hari ini untuk menolak sumber maklumat dari mereka yang hidup dizaman itu, mereka yang menempuh segala macam cabaran, pengalaman dan asam garam untuk terus hidup. Mereka yang saya temuduga bukan petani atau orang kampung sahaja malah terdiri dari guru-guru ijazah, pegawai kerajaan biasa dan tertinggi yang telah berpencen dan sebagainya namun celik akal dan mindanya mengenai sejarah keturunan mereka. Ada diantara mereka masih lagi menyimpan peralatan tembaga dan emas pembesar zaman dahulu sebagai bukti apa yang diperkatakan oleh mereka.

Begitu banyak cross referance yang saya jalankan menunjukkan ada maklumat yang sengaja disembunyikan dan tidak di tonjolkan. Di sini saya ingin mengambil contoh perkataan ‘khaek’, satu perkataan thai, berasal dari perkataan siam yang merujuk kepada orang-orang Islam di Patani dan juga semenanjong.

" In Thai, for example, farang is a well-known adjective and noun referring to Western people without any specification of nationality, culture, ethnicity, language, or whatever. Khaek is another term which covers the peoples and countries of the Malay peninsula, the East Indies, South Asia, and the Middle East without any distinction. Khaek also denotes Muslim, but by no means exclusively so. That is to say, a reference is sometimes made regardless of whether or not a certain characteristic really belongs to any particular nation or ethnic group, because the aim of the discourse is to identify the un-Thainess rather than to define the characteristic of any particular people." Thongchai Winichakul, “Siam Mapped. The History of the Geo Body of a Nation”, Honolulu: University of Hawaii Press, 1994, Pg3.

Dalam menceritakan mengenai orang-orang China yang datang melombong bijih timah diatas perbelanjaan Long Jaafar di Larut, perkataan khaek ini juga disebut oleh Joginder Singh dalam bukunya, “Tawarikh Tanah Melayu (1400-1959)”, seperti berikut,

“Orang yang mula sekali datang ialah suku khaek dan mereka membuat tempat kediaman dikawasan Kelian Pauh iaitu berdekatan dengan rumah penjara Taiping sekarang ini……Di Larut ada dua kongsi gelap yang bermusuh – kongsi gelap Hai San (puak khaek) dan kongsi gelap Ghee Hin (puak Kongfu). Ahli-ahli kedua kongsi gelap yang bermusuhan itu jarang benar bercampur gaul diantara satu sama lain”. Joginder Singh Jessy, “Tawarikh Tanah Melayu (1400-1959”), Dewan Bahasa dan Pustaka,1975, ms153.

Dalam artikel saya sebelum ini, saya sudah pun menceritakan siapa Long Jaafar sebenarnya. Ngah Ibrahim juga dalam buku ini dikatakan memihak kapada puak Hai San. Apa yang menarik disini ialah kehadiran orang-orang China Manchu yang beragama Islam di Perak. Agak pelik sewaktu kita mempelajari sejarah di sekolah dahulu, kenapa orang-orang china ini bergaduh setelah merantau begitu jauh mencari rezeki ditempat orang. Rupa-rupanya mereka bukan sahaja berlainan puak malah berlainan agama juga.

Begitulah juga kehadiran tentera China Manchu seramai 36,000 ribu orang yang dihantar oleh Maharaja China Manchu untuk mempertahankan Kedah. Mereka bertapak di Padang Lumat, Yan Kedah. Perihal kedatangan mereka ini, tidak di sebut langsung dalam sejarah negeri Kedah (termasuk Perak) hari ini. Antara yang kita ketahui ialah Datuk Eusuff Teh usahawan Zaitun Industries adalah Cina Islam dari turun temurun dan begitu juga Haji Ibrahim Ma Tian Ying yang aktif dalam PERKIM. Ramai diantara mereka telah berkahwin dengan orang-orang melayu tempatan dan asimilasi kaum pun berlaku.

Saya juga pernah bertemu dengan orang-orang melayu tersebut di Kedah dimana rupa paras mereka atau salah seorang dari adik beradik/ahli keluarga mereka berlainan dari orang-orang Melayu kebiasaan, berkulit putih kemerah-merahan. Mungkin satu kajian boleh dijalankan oleh sesiapa yang berminat menjejak kembali sejarah mereka yang juga merupakan sejarah bangsa melayu baru hari ini.Wallahualam.

Sila baca artikel menarik mengenai orang-orang China Islam Malaysia disini,
http://www.islam.org.hk/eng/malaysia/ChineseMuslim_in_Malaysia.asp#Introduction

1 comment:

Anonymous said...

Sebagai seorang berketurunan Siam Islam daripada kawasan Mukim Rambai (Kubur Panjang) saya berasa bangga dengan pelbagai penemuan pihak tuan.

Selama ini saya tercari-cari identiti keturunan saya yang berbahasa ibunda Siam sedangkan ugama dan adat istiadat lain memang Melayu Islam dan tidak sama langsung dengan orang-orang Thai Buddha.

Dengan semua pendedahan ini sekurang-kurangnya, orang-orang Melayu Kedah lain janganlah lagi memandang serong kepada kami yang berbahasa Siam ini. Ini kerana memang nenek moyang kita dulu sama-sama keturunan Siam Islam daripada rumpun Melayu juga.

Saya berpendapat seluruh Kedah menggunakan bahasa Siam ini dahulu kerana begitu banyak nama tempat (termasuk luar Kedah sekarang)menggunakan bahasa Siam.

Cuma kadar kepupusan penggunaan bahasa Siam ini berbeza daripada satu tempat ke suatu tempat.

Di kawasan seperti Titi Haji Idris, Tualang, Kubur Panjang, Kg. Rambai Tokai dan lain-lain juga bakal mengalami kepupusan ini beberapa puluh tahun akan datang. Ini kerana generasi muda agak kurang menggunakannya kerana bekerja di luar kawasan, berpindah, perkahwinan dengan orang luar kawasan dan lain-lain.

Saya harap, saudara anaianai boleh menghubungi saya melalui e-mail untuk perbincangan lanjut kerana saya juga sangat meminati sejarah.

2 e-mail saya kepada tuan belum dibalas.

Sekian.
Mohd Salmi