Tuesday, July 10, 2007

KEPENTINGAN PERSPEKTIF MALAYSIA DALAM PENULISAN SEJARAH KITA

PERSATUAN PEMBIMBING INSAN MUSLIM SABAH

PENGENALAN
Sejarah adalah hakikat yang merujuk kepada masa yang sudah lepas. Oleh itu untuk mengkaji sesuatu perkara atau peristiwa yang berlaku dimasa lepas adalah amat sukar bagi pengkaji yang berbeza zaman dengan sejarah tersebut dalam pensejarahan. apabila dikatakan sejarah ditulis kembali bermaksud tafsiran ahli sejarah itu tentang sesuatu peristiwa atau perkembangan yang berlaku dahulu1. Dalam hal ini tidak mustahil berlaku berbagai- bagai tafsiran dan percanggahan dalam pensejarahan itu sendiri. oleh itu, perspektif Malaysia penting dalam penulisan sejarah kita. ini kerana masyarakat Melayu itu sendiri mempunyai sejarah yang lebih tua dan gemilang yang perlu dikaji oleh penulis tempatan itu sendiri2.

Para sejarahwan hari ini perlu memikirkan kembali pengertian dan konsep sejarah yang sesuai dengan alam sejarah masyarakat Melayu terutama zaman tradisional sebelum kedatangan penjajah barat. Penulis-penulis seperti Raja Chulan, pengarang Misa Melayu, Tun Sri Lanang (pengarang Sejarah Melayu) dan Raja Ali Haji (pengarang Tuhfat Al Nafis) adalah antara penulis sejarah yang banyak membekalkan pengetahuan mengenai masyarakat Melayu tradisional, adat istiadat di istana, peranan raja dan lain-lain lagi. Kelahiran karya-karya mereka ini mencerminkan keupayaan penulis Melayu yang memperlihatkan kepekaan dan kreativiti tanpa meminjam unsur-unsur luar sama ada pada isi mahupun bentuknya sebagai model3. Sehinggakan penulis-penulis barat seperti R.O. Winstedt yang mengkaji sejarah bangsa Melayu merujuk secara menyeluruh akan hasil-hasil histrografi ini.

KEPENTINGAN PERSPEKTIF MALAYSIA

Kebanyakan penulis-penulis asing terutama dari barat melihat konsep sejarah yang terdapat di kalangan masyarakat melayu lama sepenuhnya dari pandangan dan kacamata, norma hidup Barat sedangkan tanpa memahami masyarakat, mereka tidak dapat menilai dengan baik hasil budaya yang dilahirkan oleh masyarakat Melayu. 4 Oleh itu, ia menunjukkan pentingnya menggunakan perspektif Malaysia dalam penulisan sejarah kita kerana penulis Barat ini membuat penilaian rendah terhadap hasil tulisan orang tempatan. Contohnya, J.C.Bottoms menganggap sejarah bagi orang Melayu tidak lebih daripada hiburan, campuran kebanaran dan legenda, khayalan dan fakta dan hiburan dan pengajaran 5. Manakala Roolvink dan R.O.Winstedt menolak karya para penulis Melayu zaman tradisional yang memasukkan unsur mitos dan lagenda dengan alasan ia menyimpang daripada ciri-ciri sejarah yang mementingkan rasional, objektif semata-mata.

Walaupun pada dasarnya sejarahwan memelihara keperibadian disiplin tetapi sejarah bukanlah suatu bidang akademik yang statis, bagi masyarakat di negara yang mundur dan sedang membangun mereka tidak berpeluang menumpukan perhatian kepada perkara yang esoteric dengan demikian dimana-mana perlu, ahli sejarah cuba mengaitkan convention lama dengan keperluan zaman sekarang6. Kepekaan penulis tempatan seperti Khoo Kay Kim dan Zainal Abidin Wahid berpendapat bahawa penggunaan mitos dan lagenda adalah satu kaedah mengkritik raja dan membina semacam kuasa keTuhanan, satu sifat luarbiasa pada seseorang Raja 7.

Melalui kaedah ini kita dapat menganalisis bagaimana sistem pemerintahan dahulu yang dapat melahirkan satu disiplin kepatuhan kepada raja dan saling menghormati sesama mereka. Begitu juga Bukhari Joharai yang mengarang Taj Us-Salatin yang mengandungi panduan tanggungjawab seorang raja memerintah dengan adil.8 Sebaliknya R.O.Winstedt, mengkritik ianya kurang baik dan sangat kurang nilai sasteranya. Ini disebabkan beliau sebagai seorang Kristian mengecam karya ini yang mengandungi ajaran Islam didalamnya.

Secara keseluruhan pada tempoh kurun ke-16 hingga perang Dunia ke II didapati lebih banyak sejarah Malaysia ditulis oleh orang-orang barat seperti Portugis dan British berbanding penulis tempatan. Oleh kerana kebanyakan penulis barat terdiri daripada ahli tadbir bagi puak kolonialis,9 menyebabkan mereka lebih menitikberatkan penulisan menganai kedatangan mereka ke negara yang dijajah telah membawa bersama kemajuan dan banyak menulis sejarah kejayaan bangsanya daripada menceritakan sejarah perkembangan masyarakat itu sendiri.10

Dalam tahun 1920-an penulis Melayu menggunakan Sejarah Melayu melalui kegemilangan Melaka bertujuan melahirkan kesedaran kepada masyarakat Melayu dari pelbagai aspek terutama sebagai alat bagi memupuk perpaduan Melayu. Antara penulisnya ialah Ahmad Abdullah melalui tulisannya sepertu Darah Melaka, Keris Melaka, Melayu tak'kan Hilang11ini menunjukkan para sarjana Melayu telah menyedari pensejarahan lama ini sebagai bahan asas untuk pengkajian sejarah Melayu.12 selain itu usaha Abdul Hadi Haji hassan dan Buyong adil menghasilkan Sejarah Alam Melayu sebagai buku sejarah untuk penggunaan murid-murid di sekolah Melayu.

Selepas perang dunia ke II, kebanyakan penulisan Melayu berbau politik seperti Dr. Burhanuddin al Helmi menerbitkan 'Sejarah Perjuangan Kita'. Manakal Ibrahim Yakob adalah orang pertama yang menulis sejarah politik moden orang Melayu melalui Bukunya ' Sejarah dan Perjuangan di Malaysia' dan jadi rujukan oleh penuntut sejarah dan merupakan perangsang kepada sarjana akademik yang mengkaji dengan lebih mendalam kegiatan politik orang melayu, sekurang-kurangnya dapat menggambarkan suasana sezaman membantu memahami keadaan dahulu dengan menggunakan perspektif Malaysia.

Penubuhan Jabatan Sejarah di Universiti Malaya membawa perkembangan lebih ramai orang tempatan menceburkan diri dalam penulisan sejarah Malaysia yang sebelum ini dimonopoli oleh orang Barat.13 Para mahasiswa menulis tentang sistem pentadbiran, perkembangan ekonomi, tokoh politik dan raja-raja Melayu. Keadaan ini membolehkan pensejarahan Malaysia diperkayakan sehingga menghasilkan tidak kurang daripada 150 buah kajian sejarah tetapi sehingga masa kini kebanyakan daripada kajian-kajian itu tidak diterbitkan. 14 Tidak mustahillah keadaan ini menyebabkan kita kekurangan sumber untuk terus mengkaji pensejarahan Malaysia mengikut perspektif negara ini.


Lewat 1960-an hingga 1970an, mahasiswa aliran Melayu memperkayakan lagi pensejarahan Melayu iaitu penulisan atau pengkajian tentang sejarah masyarakat melayu dalam bahasa Melayu manakala generasi tua yang berpengalaman banyak membantu malah ada juga yang bersama-sama memperbanyakkanlagi penulisan sejarah ini seperti misalnya Haji Mohd. Salleh Haji Awang, 'Sejarah Terengganu’ dan Othman Abdul Hamid, ‘Salasilah Tok Abdul Jabar Tok Othman, Johor Bahru’.15 Sekiranya generasi hari ini berminat dalam perkara-perkara yang dahulunya kurang diutamakan, itu bukan kesalahan bahkan ini akan memperlengkapkan lagi pensejarahan Malaysia dan menyelidiki pensejarahan yang telah dikaji oleh sarjana Barat.16

KESIMPULAN

Tidak dinafikan tulisan sarjana barat mengenai Alam Melayu amat penting dalam pengkajian sejarah kita. Kita boleh menggunakan penulisan mereka sebagai perbandingan dengan sumber tempatan yang sezaman dengan mengkaji dan mencari kesesuaian dengen pensejarahan kita tanpa mengabaikan fakta-fakta sejarah malah menghargai peranan mitos, lagenda, syair dan sebagainya dalam pensejarahamn melayu lama dan mengkajinya berdasarkan Perspektif malaysia. Setiap generasi melihat masalah dengan kacamata sendiri. manakala tugas ahli sejarah berusaha memahami dengan perspektif yang tepat dan bersesuaian dengan masyarakat yang dkaji kerana pengkajian ini bersangkut paut dengan keadaan yang mula-mula muncul dimasa yang telah berlepas.

NOTA AKHIR
1. Khoo Kay Kim, Panji-panji Gemerlapan: Satu Perbicaraan Malaysia, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1979, hlm 1.
2. S. Husin Ali, Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1979, hlm 11.
3. Ali Ahmad, Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987, hlm 197
4. Muhammad Yusoff Hashim, Syair Sultan Maulana: Suatu Penelitian Kritis Tentang Hasil Pensejarahan Melayu Tradisional, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1980, hlm 14
5. Badriyah Haji Salleh, Tan Liok Le, Alam Pensejarahan: Dari Pelbagai Perspektif, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm 176
6. Khoo Kay Kim, Pensejarahan Malaysia, Universiti Malaysia, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1975, hlm 26
7. Badriyah, op.cit, hlm 178
8. Raja Mohd,. Afandi, Tokoh-Tokoh Melayu yang Agong Dalam Sejarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1982, hlm 85
9. Muhammad Yusoff Hashim, op.cit, hlm 12
10. S. Husin Ali, op.cit, hlm 10
11. Pensejarahan Malaysia, op.cit, hlm 17
12. Panji-panji Gemerlapan, op.cit, hlm 5
13. Pensejarahan Malaysia, hlm 20
14. Ibid, hlm 21
15. Panji-Panji Gemerlapan, hlm 23
16. Pensejarahan Malaysia, hlm 26

2 comments:

Anonymous said...

Salam bang,kami seronok nak baca chat-box abg, tapi x de.nape?..kami dah start pakai shout-box..free..kalau abg free...singgahlah komen kat situ,,rasa rindu lak ngan abg.abg sihat?

anaianai said...

Terima Kasih selftech. Bukan apa sebab ada orang yang tak mahu terima bukti baru lantas menggunakan bahasa kesat dalam chat box kami. So kami KIV dululah. Anyway terima kasih kerana selalu singgah.