>SALAM HORMAT DAN SELAMAT DATANG. >PASUKAN KAMI MELIHAT KEMBALI SEJARAH WARISAN BANGSA DARI VERSI TEMPATAN, BUKANNYA VERSI BARAT > USAHA KAMI JUGA KEARAH SEJARAH REALITI NAGARA, BUKAN LAGI REKAAN PENJAJAH & SEKUTUNYA >>
Monday, August 6, 2007
MAKAM TOK SOH DI PINANG TUNGGAL
Pinang Tunggal – Hujan yang turun berterusan beberapa hari yang lalu tidak mematahkan semangat kami untuk menjejak sebuah makam bersejarah yang dikatakan makam Tok Soh, di Kampung Tok Soh. Kampung ini terletak di Pinang Tunggal berhampiran Sungai Petani Kedah. Tok Soh di katakan sebagai Permaisuri kepada Raja Merong Mahawangsa. Nama sebenar baginda ialah Sharifah Mariam ibni Syed Jamal Al Jefri. Nama keturunan Al Jefri masih ada hingga ke hari ini dan mereka banyak terlibat dalam aktiviti perniagaan, keagamaan dll.
Tinjauan kami sebelum ini mendapati terdapat juga sebuah makam guru agama di Butterworth yang meninggal sekitar tahun 1970an bernama Syed Umar Al Jefri masih ada dan dijaga rapi sehingga hari ini. Sementara itu sebuah sekolah di Sungai Patani telah dinamakan sebagai Sekolah Syed Jan Al Jefri mengingati nama keluarga tersebut. Walau apa pun, nama-nama dari keturunan Syed ini sememangnya mendapat tempat dalam kerajaan negeri dibawah pimpinanan Menteri Besar Kedah dan pemerintahan DYMM Sultan Kedah. Ini sememangnya diakui ramai rakyat Kedah semenjak dahulu lagi.
Ketika kami sampai kami dapat melihat sebuah kawasan loji air yang mana kedudukkan nya yang cantik diatas bukit mengadap sungai berhampiran. Sungai ini adalah sebahagian dari Sungai Muda yang mengalir ke tepi pekan Kota Kuala Muda dan cabangan nya melalui lokasi Sungai Mas dimana sebelum ini dijumpai makara dan runtuhan istana baru-baru ini. Pemandangan dari bukit menghala ke Sungai sungguh indah dengan airnya tenang. Sudah pasti Sungai Muda yang masih mengalir ini menyimpan seribu rahsia khazanah negeri Kedah. Terdapat sebatang jalan yang menjadi seolah-olah jalan menuju ke jeti ditebing sungai, namun kawasan jeti itu sudah dipagarkan. Tinggalan batu-batu bata leper dan lebar seperti di Kota Kuala Muda masih lagi jelas kelihatan. Bakinya telah digunakan oleh penduduk tempatan untuk membuat binaan lain.
Loji Air Pinang Tunggal, Jabatan Bekalan Air.
Disinilah diriwayatkan Podiset Sayyidina Jamalull Alam Badrul Munir bergelar Sultan Mudzaffar Syah II membina sebuah kota istana baru dan menetap disitu. Kami juga di fahamkan terdapat sebuah lagi istana yang dibina oleh baginda terletak di Bukit Tereh berhampiran Muar Johor dalam usaha baginda menyebarkan dakwah islamiyah. Muar dalam bahasa Siam Islam Kedah bermaksud, topi atau mahkota. Bonda baginda datang untuk tinggal bersama baginda berikutan kemangkatan Raja Merong Mahawangsa yang bergelar Sultan Mudzaffar Syah I. Raja Merong Mahawangsa telah dimakamkan di Kampung Langgar berhampiran Merbok. Anakanda kepada Podiset Sayyidina Jamalull Alam Badrul Munir iaitu Sayyidina Ali atau Sultan Alirah telah menjadi Raja di Acheh dan disana baginda telah menulis teks jawi Undang Undang Kedah, sebuah perlembagaan Negara Islam Kedah. Sekiranya berdasarkan kepada maklumat ini tanah jajahan Kedah telah pun mula berkembang hingga ke negeri Acheh dimana dakwah islamiyah menjadi perkara pokok. Seperkara lagi, tanah perkuburan pembesar-pembesar di Perlis, Sg Mas, Kelantan dan Kedah semuanya di tempat yang bernama Langgar. Ini di sebabkan dalam bahasa Siam Islam Kedah perkataan Langgar bermaksud, ‘putus dunia’.
Sekiranya diteruskan perjalanan tanpa berhenti di Pinang Tunggal, sebuah jambatan baru yang merentasi Sungai Muda telah siap dibina akan membawa kita terus ke Kepala Batas, kawasan parlimen Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ketika kami mencari kawasan permakaman, tidak ada papan tanda yang menunjukkan kepada kami arah jalan menuju ke makam tersebut dari jalan besar, namun juruarah kami memaklumkan persimpangan dihadapan untuk kami membelok.
Kami meneruskan perjalanan lagi hampir 2 km dan disini disebelah kiri jalan barulah kelihatan papan tanda yang mengatakan makam Tok Soh. Hanya pada jarak 40m kami menjumpai makam tersebut terletak disebelah kiri lorong kecil, di belakang dapur sebuah rumah penduduk tempatan. Kawasannya dipagari dan dipasang dengan pagar besi, cantik tetapi pohon-pohon kecil sudah mula mengubah lanskap tersebut. Terdapat sepasang batu nisan yang mengadap kearah Qiblat dan rekabentuknya ibarat pintu gerbang Kanchapuri yang dulunya terdapat di Kuala Kedah. Pintu gerbang itu telah runtuh namun replikanya telah didirikan semula di Muzium Alor Setar.
Semasa kami mengamati makam tersebut terdapat ayat-ayat suci Al Quran yang dipahatkan pada bahagian batu nisan tersebut. Yang jelas ditengah-tengah adalah surah Al Fath, surah pembukaan negeri. Kami turut membantu membersihkan kawasan makam tersebut, seterusnya membaca surah Al Fatihah sepertimana makam-makam lain yang pernah kami kunjungi.
Batu Nesan Tok Soh di Kg Tok Soh , Pinang Tunggal berhampiran Sungai Petani Kedah
Kami juga turut diperkenalkan dengan seorang penduduk tempatan iaitu Tuan Haji Ahmad bin Hashim. Beliau yang pernah bertugas sebagai guru dibeberapa sekolah disekitar Sungai Petani merupakan penduduk asal Pinang Tunggal. Menurut beliau makam tersebut lengkap dengan nisannya, sudah ada disitu semenjak beliau masih kecil lagi. Pada usia 70 tahun beliau mengesahkan bahawa orang-orang tua terdahulu pernah menceritakan kewujudan sebuah kota disitu dan beliau sendiri sewaktu kecil pernah melihat runtuhan istana tersebut.
Tuan Haji Ahmad bin Hashim menceritakan kewujudan sebuah kota di Pinang Tunggal.
Diantara tahun 1876 hingga tahun 1881, tentera thai yang menguasai Kedah telah memecahkan ukiran-ukiran ayat suci Al Quran. Tidak cukup dengan itu dalam tahun 1910 Inggeris pula merobohkan bangunan kota istana ini setelah mereka menguasai Kedah dari kerajaan Thai berikutan perjanjian tahun 1910. Penjajah Inggeris dengan askar sepoi dan buruh-buruh yang dibawa dari India telah datang untuk merobohkan saki baki kota istana yang masih ada. Apabila Inggeris memulakan projek loji air, dengan itu dirobohkan terus kota istana dan lebihan-lebihan batu-bata dari Kota istana itu digunakan oleh penduduk kampong yang tidak megesyakki apa-apa untuk membaiki rumah rumah mereka.
Berikut adalah kenyataan pada sisi makam tersebut,
Kubur bersejarah Kg. Tok Soh
Berdasarkan kepada jenis batu nisan dan ukiran ayat Quran yang terdapat padanya adalah dipercayai kubur ini merupakan kubur seorang pembesar atau orang ternama yang dihormati pada suatu masa dahulu. Walau bagaimanapun hingga kini tidak dapat dipasti siapakah sebenarnya yang telah dikuburkan disini.
Ulasan
Setahu kami tidak ada sesiapa pun yang berani membuat tuntutan siapakah yang dimakamkan disini kecuali seorang saja iaitu TNL Kasim dan waris mereka, lengkap dengan kisah bagaimana Tok Soh boleh dimakamkan disitu. Namun begitu maklumat yang diberikan oleh beliau tidak direkodkan. Persatuan Sejarah negeri Kedah masih tidak mahu mengakui apa yang diriwayatkan oleh beliau yang diterima secara wasiat. Apabila dijemput ke Forum Realiti negeri Kedah pada 13 September 2006, beliau mengambil peluang menerangkan segala-galanya, mendedahkan secara terbuka, namun ada pihak yang masih terus memekakkan telinga.
Dalam agama Islam perkara wasiat tidak boleh dibuat main kerana ia merupakan satu amanah, pasti akan dituntut diakhirat kelak. Bagaimana mungkin TNL Kasim menyimpan bukti bertulis sedangkan semua bukti bertulis, Bunga Mas, peralatan istana telah dirampas di istana Kota Meang Kuang untuk dibawa balik ke Bangkok oleh tentera thai dalam tahun Musuh Bisik 1821. Hari ini pula, kita menyangkakan Bunga Mas dihantarkan kepada mereka (Raja Thai ) pada hal mereka merampasnya dari Istana Sharif Yang Di Pertuan Yang Maha Mulia dan membunuh baginda dan 4 orang putera baginda. Pedang yang digunakan untuk membunuh baginda, yang dulunya dihadiahkan oleh penguasa Mekah Al Mukarammah masih ada tersimpan oleh keluarga baginda hari ini.
Bagindalah Raja Siam Islam terakhir Ayuthia bergelar Boromoraja Ekataat V yang diusir dalam tahun 1767 terdahulu. Di Toung Oo Burma baginda bergelar Mahadamayaza atau raja dari berlainan darah. Munculnya buku Undang-Undang Kedah telah mengesahkan wasiat yang diterima oleh TNL Kasim berpuluh tahun yang lampau ada kebenarannya. Beliau tidak bersuara sebelum ini kerana tidak ada bukti bertulis. Hari ini dah ada bukti bertulis, beliau telah memulakan langkah, apa yang kita tunggu lagi?
Untuk maklumat pembaca TNL Kasim bukanlah orang lain dengan Almarhum DYMM Sultan Badlishah, ayahanda kepada DYMM Sultan Kedah sekarang ini, ada pertalian. Baginda Tuanku Sultan pun turut mengenali TNL Kasim sejak kecil lagi, malah Sultan Abdul Hamid pun turut mengenali keluarga mereka secara peribadi dan kunjung mengunjung kerumah mereka disuatu ketika dahulu. Bagi beliau, Tuanku Sultan sedia ada harus kekal menerajui pemerentahan negeri Kedah Darul Aman.
Pendapat kami tetap satu. Sejarah yang penuh dengan konspirasi tidak harus dinilai berdasarkan kepada fakta sejarah, bukti penulisan dan akeologi semata-mata. Generasi terdahulu telah pun pergi meninggalkan kita, haruskah kita membiarkan yang masih ada berlalu pergi begitu sahaja sedangkan sejarah negara kita masih dikaburi oleh bayang-bayang penjajah yang telah menjahanamkan sejarah bangsa kita. Dengan bukti-bukti yang anda boleh baca diblog ini, dan mungkin turut membuat kajian-kajian lain, kami amat berharap kekusutan sejarah bangsa Melayu dan kedatangan agama Islam ini akan terungkai juga akhirnya.
PS: Kita tidak akan hidup buat selamanya diatas muka bumi Allah yang fana ini. Paling tidak, "katakan lah yang benar walau pahit sekali pun"(Sabda baginda Rasulullah SAW). Dengan itu, tanggungjawab kita sebagai mukmin telah pun kita laksanakan sebelum kita rapat memejamkan mata. Wallahualam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment