Thursday, August 23, 2007

Bahasa Siam Kedah harus dibuat kajian

Oleh Mohd Salmi Baharom

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Dengan terbongkarnya rahsia Sejarah Realiti Negara Kedah, saya berpendapat adalah perlu untuk berbuat sesuatu kepada bahasa Siam yang semakin hari semakin pupus penggunaannya di negeri Kedah. Ini kerana bahasa Siam Kedah sebagai bahasa pertuturan raja-raja Melayu dahulu kala (mungkin lebih seribu tahun) mempunyai nilai sejarah yang sangat tinggi sehingga banyak nama-nama tempat di merata pelusuk nusantara menggunakan bahasa ini. Kalaulah Professor Asmah Haji Omar sanggup tinggal di rumah panjang dengan segala kepayahan selama berbulan-bulan untuk menyiapkan thesisnya tentang bahasa Iban sebagai satu bahasa suku Melayu, diharapkan ada sarjana lain yang dapat melakukan kajian serupa terhadap bahasa Siam di kampung-kampung di utara semenanjung.

Bahasa Siam yang menjadi bahasa ibunda di kampung-kampung di Kedah seperti Kokdiang, Jitra, Hosba, Changloon, Titi Haji Idris, Tualang, Pokok Sena, Kubur Panjang, Tokai, Gurun dan lain-lain adalah bahasa suku Melayu juga dan banyak mempunyai perkataan yang hampir sama dengan bahasa Melayu seperti ada yang ditulis dalam blog tuan seperti berikut, khrun=gerun, kasut=kasut, jaman=jamban, susah, kayta=kereta dan lain-lain. Saya ingin menambah beberapa perkataan asas kegunaan harian yang hampir-hampir sama seperti (dalam urutan bahasa Kedah/Melayu/Siam) pi/pergi/pai, mai/mari/ma, hang=kamu/kamu=mu/meng, aku/aku/ku, abang/abang/bang, kak/kakak/kak, mak/emak/mak, pak/bapa/pak, tok lebai/tok lebai/tok bai sekadar yang saya ingat sekarang ini.

Walau pun ada perkataan Melayu, bila orang-orang yang tidak biasa dengan bahasa Siam mendengarnya tidak akan perasan langsung lalu tidak memahaminya. Ini boleh di ibaratkan orang-orang Kedah mendengar orang bercakap Jawa atau Acheh, langsung tidak dapat memahaminya. Pasti kerana sebutan bahasa tersebut mempunyai intonasi dan panjang pedek yang tersendiri yang mana hanya orang-orang yang biasa dengannya sahaja dapat menangkap perkataan yang serupa dengan bahasa Melayu. Kalau orang Kedah mendengar orang Kelantan atau Petani bercakap mungkin tidak susah sangat sebab kita di Kedah juga sudah biasa dengan sub-dialek di Kedah sendiri daripada rakan-rakan dari Baling, Kg. Paya Rawa, Guar Kepayang, Tanjung Musang dan sebagainya yang ada pengaruh pantai timur (mereka ini asalnya orang Patani yang lari ke Kedah dizaman Sultan Muhammad I @ Nik Muhammadiah diserang tentera thai dahulu).

Bahasa Siam sangatlah unik dan memang tidak sama dengan bahasa Thai. Kalau ada persamaan dengan bahasa harian orang-orang Thai Kedah itu adalah kerana mereka juga sudah lebih seratus tahun bermastautin dan bergaul dengan orang-orang Kedah. Mereka bagaimana pun terpaksa belajar semula bahasa Thai moden yang diajar di wat-wat Thai supaya tidak ketinggalan daripada bahasa ibunda seperti yang didengar di siaran radio atau tv di Thailand (o,rupa-rupanya mereka kena belajar semulalah ye? kalau gitu,tak samalah bahasa thai dengan bahasa Siam Kedah). Perkataan yang sama dalam bahasa Siam jika disebut dengan nada dan panjang pendek berlainan akan berubah maknanya. Sebagai contoh dalam ayat, "Siapa jual telur ayam demam?",semuanya menggunakan perkataan "khai" tetapi disebut dengan lain-lain nada dan harakat supaya timbul maknanya. Hanya orang-orang yang faham bahasa Siam sahaja yang faham sepenuhnya maksud saya ini.

Berbalik kepada pemeliharaan bahasa Siam itu tadi sejak ratusan atau ribuan tahun adalah melalui perkahwinan sesama suku Siam. Ini juga diamalkan oleh raja-raja kita dahulu iaitu perkahwinan sesama sepupu, dua pupu atau tiga pupu untuk merapatkan kembali keluarga yang jauh dan harta pusaka tidak jatuh kepada pihak lain. Paling tidak pun, perkahwinan sesama kampung yang berbahasa ibunda Siam dengan harapan bahasa Siam menjadi bahasa pertuturan di rumah turun menurun.

Pada era globalisasi ini tentulah perkara ini sukar dipelihara. Apabila belajar atau bekerja di luar daerah, di luar negeri dan berjumpa pula dengan orang-orang tempat lain, tradisi perkahwinan sesama sendiri itu tidak diikuti lagi. Apa lagi kalau sudah berpindah ke tempat lain. Anak-anak sudah tidak memahami lagi bahasa Siam yang dianggap terlalu asing. Kadar merosotnya penggunaan bahasa Siam ini juga tidak sama daripada satu tempat ke satu tempat mengikut masa dan keadaan. Contohnya di kawasan-kawasan perumahan di Jitra, hampir tidak ada orang berbahasa Siam lagi kerana kemasukan orang-orang luar yang membeli rumah untuk menetap kerana bekerja di sana. Saya tidak pasti kalau DYMM Sultan Kedah sekarang boleh berturur bahasa Siam (datuknya, memangnya mahir). Tapi saya yakin Sultan Badlishah tentu boleh walau pun serba sedikit kerana baginda pernah tinggal di Kg. Alor Pak Ngah, Langgar semasa disinggir sementara oleh Sultan Abdul Hamid. Kampung tersebut memang tebal amalan bahasa Siam sehingga hari ini.

Mungkin ada yang bertanya kalaulah bahasa Siam itu dipertuturkan oleh raja-raja dan ramai pegawai-pegawai serta rakyatnya, kenapa pula undang-undang dan hikayat tidak menggunakan bahasa Siam tetapi bahasa Melayu juga. Jawapannya sangatlah mudah. Bahasa Melayu memang sudah menjadi bahasa lingua franca di Nusantara sejak dahulukala lagi dan di fahami oleh majoriti orang-orang di setiap pekan dan bandar seluruh nusantara. Bahasa standard yang saya maksudkan ini adalah bahasa Melayu baku, bukan seperti anggapan sesetengah orang yang ingatkan bahasa orang-orang di Kuala Lumpur dan selatan semenanjung sebagai bahasa standard hanya kerana bahasa itu banyak digunakan di tv dan radio.

Itulah sebabnya sejak zaman dahulu lagi ulamak-ulamak di Aceh, Kalimantan, Petani dan sebaginya menghasilkan kitab-kitab bertulisan jawi dalam bahasa Melayu supaya sampai kepada khalayak ramai di seluruh nusantara dan tidak menggunakan bahasa dialek mereka sendiri yang sukar orang lain pelajari. Penulis-penulis yang hebat seperti Hamka dan Pramoedya Ananta Toer juga menggunakan bahasa Melayu untuk berkarya dan setiap buku dapat dicetak ratusan ribu naskah untuk pembaca di nusantara. Bayangkan kalau Buya Hamka menggunakan bahasa Minang dan bapak Pram menggunakan pula bahasa Jawa, rasanya karya mereka tidak terkenal sampai ke sini.

Di Kedah, orang-orang Cina generasi lama(sekitar umur 50an ke atas)di pekan-pekan kecil pandai berbahasa Siam seperti di Kubur Panjang dll. Mereka mudah menguasai bahasa Siam dengan baik kerana bahasa itu menjadi bahasa jual beli harian. Menurut bapa saya yang turut menguasai bahasa Hokkien, apabila ditanya kepada orang-orang Cina itu bagaimana mereka mempelajarinya, mereka menjawap ada persamaan dalam perbendaharaan kata yang membolehkan mereka pelajari dengan cepat. Ini tidaklah menghairankan kerana mereka juga berasal daripada benua Cina, sama seperti orang-orang Melayu,Thai dan lain-lain bangsa di Asia Tenggara hari ini.

Generasi baru orang-orang Cina agak kurang berminat mempelajari dan menggunakan bahasa Siam kerana pengaruh belajar atau bekerja di luar sepertimana orang-orang Melayu juga. Sebahagian juga sudah kurang berminat berniaga kedai runcit lagi seperti generasi terdahulu. Saya masih ingat, beberapa tahun dahulu pihak GAPENA ada membuat lawatan ke Yunan untuk mencari kesan-kesan tinggalan dan kaitan wilayah itu dengan bangsa Melayu. Memanglah tidak ada apa yang ditemui, lebih-lebih lagi kalau orang-orang yang dihantar itu tidak menguasai bahasa Siam atau mana-mana dialek bahasa Cina, mereka pasti tiada clue.

Sekian, wassalam.

PS : Mohd Salmi Baharom adalah seorang peminat sejarah dan pembaca tetap blog ini dan sering berhubung dengan kami. Berasal dari Kedah, beliau bertugas sebagai seorang jurutera di Petaling Jaya dan sememangnya mahir berbahasa Siam Kedah. Di sini kami siarkan artikel beliau untuk tatapan semua pembaca di blog ini. Semoga kita semua mendapat petunjuk dan hidayah dari pengalaman peribadi dan penulisan beliau.

9 comments:

Koboi BM said...

Assalamulaikum
Saya begitu tersentuh bila membaca artikel-artikel yang berada di blog saudara. Untuk pengetahuan saudara saya juga telah berusaha mengumpul maklumat-maklumat seumpama yang saudara kumpulkan. Jadi saya ingin meneruskan penelitian saya tentang sejarah Kedah dan juga tentang gabungan Melayu Nusantara. Saya telah ke Riau dan Jambi serta mejelajah hampir separuh pesisir pantai Melayu di Sumatera pada tahun 2004 yang lalu. Pada tahun depan 2008 InsyaAllah saya akan mengadakan perjalanan ke Ayuthia dan utara Thailand dalam mengenal pasti kawasan penyebaran Islam dan wali songo. Sekiranya saya berpeluang bertemu sandara adalah lebib baik kerana saya ingin berbincang banyak hal lagi tentang perkembangan hal ini. Saya harap saudara dapat menghubungi saya di email koboi.bm@gmail.com sekian terima kasih.

Anonymous said...

Baguslah semakin ramai berminat dan mengkaji sejarah rumpun bangsa kita di nusantara ini.

Tentang wali Songo, saya difahamkan mereka berasal daripada benua China juga.

Salmi

anaianai said...

Waalaiikumsalam

tahniah diatas usaha saudara. Bukan senang nak mendapat tenaga dan usaha gigih seperti saudara. Lagi banyak kajian dibuat lagi baik untuk sejarah bangsa Melayu ini. Nanti saya contact saudara via email.

Koboi BM said...

Tentang Kamus Siam Kedah saya dah mula mengumpul maklumat bermula dari semalam. Untuk pengetahuan Sdr. Salmi saya juga ingin meminta bantuan isi kepada penerbitan kamus Siam Kedah ini. Saya akan usahakan Kamus ini siap sebelum hari raya haji tahun ini. Kena tanya anaianai pasai apa sebelum raya haji..hehe. Untuk langkah pertama ini saya hanya buatkan draft dulu sebelum saya masukan erti bahasa Siam Kedah. InsyaAllah kalau ada kesempatan saya akan buatkan CD sekali untuk memudahkan mereka yang ingin belajar bahasa Siam Kedah ini. Saya belum membuat keputusan samada Kamus Siam Kedah - B Malaysia atau gabungan B Malaysia dan Bahasa Inggeris. Hanya ini info terbaru selepas pertemuan di 'Makbul' di Makbulkan.

Anonymous said...

Saudara Koboi bm, saya menghargai usaha saudara. Tetapi perlu kita semua ingat, bahasa Siam ini sangat unik dan tidak begitu mudah dipelajari. Seperti saya sudah terangkan, intonasi dan panjang pendek berlainan boleh membawa makna yang berlainan.Kalau lidah keras lagilah susah hendak menyebut perkataan-perkataan Siam itu dengan betul.

Tetapi usaha ini tetap bagus kerana belum ada lagi kamus bahasa Siam.

Salmi

Leenoh said...

Assalamualaikum.
Merujuk kepada tulisan Mohd.Salmi Baharom, saya tidak pasti anda berada di lokasi mana tetapi apa yang anda cerita sama dengan saya dengar dari keluarga saya tentang Sultan Badlishah pernah tinggal di Alor Pak Ngah iaitu tidak berapa jauh dari Masjid Alor Pak Ngah sekarang ini.

Saya adalah di antara orang yang boleh bercakap Siam tetapi jarang diamalkan kerana tiada orang yang menguasai bahasa tersebut di tempat saya dan sebahagian perbendaharaan bahasa pun semakin kurang atau semakin pupus.

Nama saya yang tertera di atas juga adalah panggilan yang serasi dengan orang yang bertutur dalam bahasa Siam.

Sebenarnya dailek Hokkien terdapat banyak persamaan dengan bahasa Siam contohnya seperti "Hokkien: et, no, sa, se, go. lak. cit. pek, kau , cap" - "Siam: neng, song. sam. se. haa, hok, cit, pet. kau , sip ( iaitu bilangan 1 sehingga 10 ) dan banyak lagi seperti ( HK) koi,ngam-ngam, soi, - (Siam) kai, Ngam-ngam, suai, (BM) ayam, elok-elok, cantik dan banyak lagi. Mereka yang menguasai bahasa Siam mudah untuk mempelajari bahasa Hokien, mungkin mereka tidak menyedari perkara ini.

Berbalik kepada Sultan Badlishah, baginda sebenarnya tinggal bersama keluarga yang bertutur dalam bahasa Siam dan keluarga ini tidak fasih berbahasa Melayu.

Baginda juga menguasai bahasa Siam adalah sangat wajar.

Wallahu aklam bissowab

Wassalam.

anaianai said...

Untuk pengetahuan saudara Leenoh, keluarga yang mana Sultan Badlishah tinggal adalah keluarga TNL Kassim dan saya (anaianai) di Alor Pak Ngah. Mereka boleh berbahasa Melayu.

Leenoh said...

Ya, memang betul mereka boleh berbahasa Melayu , maksud saya sebutan mereka tidak fasih ( pelat).Mungkin sangkaan saya tidak tepat.

Mungkin kita ada kaitan keluarga, kampung asal saya tidak jauh dari Kg.Alor Pak Ngah, sekarang tinggal di Shah Alam.Saya terjumpa blog ini melalui google kerana saya mencari map Tualang khususnya Alor China dan Alor Pak Ngah.Saya juga ingin mengetahui tentang puteri berdarah putih dan sejarah Alor China, mengapa dinamakan demikian, tentulah ada sejarahnya.


Sebenarnya saya tidak pandai hal sejarah ini, sejarah keluarga terdekat pun saya kurang faham.
Secara umum sejarah Kedah tentulah saya ambil berat juga.

Saya tidak mahu dedahkan identiti saya di sini, kalau anaianai nak kenal saya, layarilah blog saya.

Apapun saya menyokong usaha anda semua dan menumpang maklumat daripada anda.sekurang-kurangnya kemusykilan saya selama ini banyak yang telah terongkai.

Wallahu aklam bissowab. Wassalam.

Unknown said...

salam...blog yang paling menarik pernah saya lihat...padat dengan info2..tahniah!