Thursday, November 29, 2007

Siapa menjadi Pembelot?

Pada tahun 1786, tanpa pengetahuan Syarif Abu Bakar Syah, Yang Dipertuan Yang Maha Mulia Benua Siam Kedah, anak saudaranya Paduka Seri Sultan Abdullah Mukaram Syah telah membuat perjanjian sulit dengan pihak Inggeris di Pulau Pinang.

Pada tahun 1812 Masihi Syarif Abu Bakar Syah melantik anakanda Sultan Abdullah Mukaram Syah iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah untuk naik kerajaan dan menjadi Laksemana memimpin armada laut Benua Siam Kedah. Baginda bukan dilantik sebagai Sultan Kedah.

Catatan ini boleh di rujuk di ms 27 dan 28 buku Undang-undang Kedah dan Dokumentasi Konvensyen Sejarah Negeri Kedah Darul Aman 1981, ms 55. Di ms 51, dari buku yang sama J.F Augustin mencatatkan seperti berikut,

“Bagi seorang Seri Paduka Raja Laksemana pula tugasnya sebagai ketua tentera laut dan semasa di laut dia berkuasa penuh”.

Angkatan laut Kedah Darul Aman dikatakan musnah semasa melancar siri pemberontakan menentang Siam pada tahun 1839 Masihi. Penentengan ini adalah terhadap bapa saudaranya sendiri iaitu Syarif Abu Bakar Syah Kenyataan tersebut juga boleh dirujuk dalam Kedah Darul Aman Dari Segi Sejarah, jilid 5, Ogos 1971 m.s 16 – 18.

Pada hari Ahad bersamaan 12 hb November 1821 tentera Buddha Rama II Chakri Sokho Thai menyerang negeri Kedah dan membunuh Raja Siam Ligor Nambang Syarif Abu Bakar Syah Boromoraja V Ekataat Benua Siam Kedah di Istana Kota Meang Kuang. Tahun tersebut telah dikenali sebagai Tahun Musuh Bisik 1821. Berikutan kemangkatan baginda, tempat baginda telah diganti oleh puteranya Raja Siam Ligor iaitu Sultan Mudzafar Syah III.

Sila rujuk buku Warisan Maha Wangsa Kedah ms 30 tercatat,

“… semenjak Kedah berada di bawah pentadbiran Putera Ligor (1821 – 1839)”.

Manakala di M/S 31 pula tercatat,

“Terdapat juga dalam kumpulan ini surat yang ditulis oleh Putera Ligor yang memerintah Kedah sekitar tahun 1821 hingga 1839 Masihi, berpusat di Alor Ganu. Surat-surat ini ditulis dalam tulisan jawi dalam bentuk surat beradat ditujukan kepada pegawai-pegawai inggeris di Pulau Pinang”.
rujuk rekod Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur 1994
.

Pada tahun 1821 hingga 1839 Masihi, Kedah diperintah oleh Raja Maha Besar Benua Siam Kedah iaitu Koya Long Sultan Mudzafar Syah III dan Bendaharanya ialah Paduka Seri Sultan Syed Alang Alauddin Panglima Bukit Gantang. Sila rujuk buku “Cempaka Sari Sejarah Kesultanan Perak” – M.A Fawzi Basri.

Di m.s 22 tercatat,

“Sultan Mudzafar Syah III meninggal dunia di Berahman Indera (Balai Besar) dan bersemayam di Kuala Kangsar manakala Raja Alang, Putera Raja dari Kedah menjadi Bendahara”

Kita lihat pula fakta dari tulisan Winstedt dan manuscript “Riwayat Negeri Perak”,ms 21, “Ngah Ibrahim In Perak”, ms 145

“Bagaimanapun dalam tahun 1862 Masihi Sultan Jaafar memberikan jawatan menteri itu kepada Cik Ngah Ibrahim iaitu anak pembesar bergelar Paduka Setia, Orang Besar Enam Belas Tuk Paduka Setia adalah penolong atau kapit kepada Panglima Bukit Gantang”.

Di ms 20 pula tercatat

“Dengan itu juga sejarah kerajaan Beruas beransur luput, sebaliknya beberapa orang pembesar melayu telah memerintah kawasan masing-masing sebelum tertubuhnya kerajaan Perak hari ini”.

Tidak hairanlah jika sekiranya pemerentah Perak disebut dalam Undang-Undang Kedah sebagai Raja Perak, bukannya Sultan Perak. Negeri Perak diwujudkan oleh penjajah Inggeris bila mana mereka melantik Raja Abdullah menjadi Raja Negeri Perak (1824). Sebelum itu Perak adalah Wilayah Kinta, Wilayah Larut Matang dan Wilayah Salama yang mana wilayah-wilayah ini adalah dibawah Benua Siam Kedah.

Negeri Kedah Darul Aman pula wujud hanya selepas tahun 1881. Ianya dicipta oleh penjajah Raja Buddha Thailand Rama V Chakri Sokho Thai Chula Luang Khun. Mereka melantik Sultan Abdul Hamid Halim Shah menjadi Sultan Negeri Kedah Darul Aman dalam tahun 1881. Lain pula dengan Kota Setar yang wujud jauh lebih awal dimana Raja Jalil Putera menjadi Syahbandar (UUK,ms2) Raja Jalil Putera adalah anakanda Sultan Rijaluddin ibni Mohammad Johan Syah, juga bergelar Parameswara Melaka.

Dengan perlantikan itu beliau telah mewujudkan tukang karut sejarah yang berunsurkan metos dan imaginasi. Muhammad Hassan Bin Muhammad Arshad dijadikan tukang karut sejarah. Tanpa bukti apa-apa, rujukan atau sebarang manuscript beliau mencipta sejarah karut yang digunapakai hari ini. Kami berani mengatakan ia karut kerana semua fakta-fakta beliau dalam Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah tidak terdapat atau selari dengan maklumat di dalam Buku Undang-undang Kedah, mahu pun di dalam buku “A History Of South East Asia,1955 DGE Hall.

Sebagai contoh beliau menulis dalam Al-Tarikh Salasilah negeri Kedah sejarahnya bermula tahun 1136 Masihi. Raja Durbar Maha Wangsa bukan Islam tetapi di islamkan oleh Sheikh Arab yang dibawa oleh iblis. Sedangkan manuscript Undang-undang Kedah wujud 222 Hijrah bersamaan 812 Masihi oleh keturunan Raja Islam Saidina Ali Wa Maulana Padua Seri Sultan Jamalul Alam Badrul Munir, anakanda Raja Merong Mahawangsa.

Selain itu tukang karut istana ini menulis dengan penulisan berunsur fitnah dan menghina Raja Siam Ligor Nambang yang juga merupakan Raja Benua Siam Kedah tahun 1778. Penulisannya membawa tanggapan bahawa Raja Siam Ligor itu, penganut agama Buddha. Tujuannya ialah untuk mengaitkan Sultan Muhammad Jiwa (1710 – 1778 Masihi) iaitu Seri Perdana Menteri Benua Siam Kedah sebagai Sultan Kedah sedangkan Sultan Kedah yang sebenar ialah Raja Siam Ligor Nambang Syarif Abu Bakar Syah Yang Dipertuan Yang Maha Mulia.

Baginda ialah abang ipar kepada Paduka Seri Perdana Menteri Sultan Muhammad Jiwa Nai Nal Adilin melalui perkahwinan adindanya. Muhammad Hassan juga ada menonjolkan pembelot dan pemberontak iaitu Sultan Abdullah dan puteranya ialah Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah adalah Sultan Kedah Darul Aman sedangkan pada tahun itu 1804 Kedah Darul Aman tidak wujud lagi.

1 comment:

9W2DSL said...

ADA yang berpendapat bahawa tokoh penyebar Islam di Aceh yang juga penyusun kitab Bahr Al-Lahut iaitu Syeikh Abdullah Arif adalah sahabat kepada tokoh ulama yang diperkenalkan pada kali ini.

Namun ada pula berpendapat bahawa kedua-dua Syeikh Abdullah ini adalah orang yang sama.

Syeikh Abdullah Arif di Aceh dikatakan berada di Aceh sekitar tahun 560H/1165M-1177M, sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi ini atau nama lengkapnya Tuan Syeikh Abdullah bin Tuan Syeikh Ahmad bin Tuan Syeikh Ja’far Qumairi berasal dari Syahir Yemen dan tiba di Kedah tahun 531 H.

Kisah lengkap Syeikh Abdullah al-Qumairi yang lengkap diriwayatkan oleh Muhammad Hassan bin Muhammad Arsyad dalam al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Ia ditransliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Latin/Rumi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1968.

Menurut Buyong Adil dalam Sejarah Kedah (Terbitan DBP, 1980), kedatangan Syeikh Abdullah ke Kedah tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1136M. Menurut Bahayuddin Haji Yahaya dalam Naskhah Jawi, tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1137M.

Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah seorang ulama yang berasal dari Yaman dan datang bersama-sama dengan 11 orang sahabatnya.

Dalam buku Sejarah Kedah Sepintas Lalu (Diterbitkan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti Utara Malaysia, cetakan pertama 1987 hlm 10) oleh Haji Ibrahim Ismail, disebutkan dalam Hikayat Merong Maha Wangsa bahawa Syeikh Abdullah al-Yamani (berkemungkinan maksudnya Syeikh Abdullah al-Qumairi al-Yamani) adalah murid kepada Syeikh Abdullah di Baghdad.

Jika disemak dengan teliti kandungan buku tersebut, penulis menyimpulkan Islam datang ke Kedah jauh lebih awal daripada kedatangan Syeikh Abdullah al-Qumairi.

Ini kerana dinyatakan dalam buku tersebut bahawa sesudah merdeka ditemui sebuah nisan di Langgar, Kedah yang berinskripsikan nama Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah/Alam dan tarikhnya 291H bersamaan 903M. Haji Ibrahim Ismail memetik dari kertas kerja berjudul ‘Sejarah Kedah Dalam Kebangkitan Islam’ (1982) oleh Ismail bin Haji Salleh.

Selain itu, ia juga disebut oleh Abdullah Abbas Nasution dalam Islam 14 Abad dan manuskripnya diserahkan kepada penulis. Lihat juga Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Abd. Rahman dalam Islam di Brunei Darussalam, cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, cetakan pertama, 1992, halaman 30.

Mendahului

Melihat kepada perbandingan tahun kedatangan di antara kedua-dua tokoh ini iaitu Syeikh Abdullah Arif di Aceh (560H/1165M) dengan Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya di Kedah, ini bermakna Syeikh Abdullah al-Qumairi di Kedah mendahului kedatangan Syeikh Abdullah Arif di Aceh lebih kurang 29 tahun.

Namun apabila dibandingkan pula dengan tarikh batu nisan Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah di Langgar, Kedah pada tahun 291H/903M dengan tulisan M. Junus Djamil yang menyebut bahawa kerajaan Islam telah lahir di Perlak tahun 225H/840M, yang dilihat perbezaannya adalah lebih kurang 66 tahun.

Oleh itu, apabila dilihat tahun-tahun tersebut perbezaannya tidak jauh. Walaupun dinyatakan oleh Haji Ibrahim Ismail bahawa kerajaan itu lebih kurang 300 tahun lebih awal dari kewujudan Kedah (Lihat Sejarah Kedah Sepintas Lalu, halaman 18).

Menurut buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan dipetik oleh Buyong Adil bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi dan 11 orang sahabatnya telah berhasil mengislamkan Raja Kedah yang kesembilan, iaitu Maharaja Derbar/Durbar Raja II yang ketika itu berkedudukan di Istana Bukit Meriam.

Namun, dalam Hikayat Merong Maha Wangsa, bukan raja yang kesembilan, tetapi adalah raja yang ketujuh. Nama raja juga berbeza, raja Kedah menurut hikayat tersebut bernama Phra Ong Maha Wangsa.

Nama baginda raja itu juga ditukar oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi dari Maharaja Derbar/Durbar Raja II @ Phra Ong Maha Wangsa menjadi Sultan Muzaffar Syah I(mangkat pada 13 safar 575 Hijrah / 1179 M). Negeri Kedah pula diberi nama Kedah Darul Aman.

Pada hari pengislaman raja Kedah itu turut diislamkan pembesar-pembesar istana. Ini bererti dilakukan pengislaman secara massal.

Pengislaman terhadap rakyat pula diatur strategi bersama-sama di antara Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya, bahkan disertai Sultan Muzaffar Syah I sendiri. Dalam waktu yang singkat dan cepat, hasil kerjasama yang padu dan sepakat antara ulama (Syeikh Abdullah al-Qumairi) dengan umara (Sultan Muzaffar Syah I) tersebut, maka rakyat Melayu yang asal dalam kerajaan Kedah Darul Aman serta merta memeluk Islam kesemuanya.

Ini membuktikan kejayaan dakwah dan pendidikan Islam yang dijalankan oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab.

Oleh itu, secara langsung Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah sebagai guru kepada Sultan Muzaffar Syah I, malah guru bagi pihak keluarga istana Sultan Kedah Darul Aman. Oleh kerana sangat kasih dan hormat Sultan Muzaffar Syah I kepada Syeikh Abdullah al-Qumairi, baginda melantik ulama tersebut sebagai orang tua dan penasihatnya.

Untuk mengembangkan lagi dakwahnya, Syeikh Abdullah al-Qumairi menyarankan supaya dibina sebuah menara sebagai tanda kebesaran Islam di puncak Gunung Jerai. Menara tersebut dijadikan sebagai tempat azan, untuk menyeru orang sembahyang. Maka, Sultan Muzaffar Syah I memerintahkan supaya dilaksanakan saranan ulama tersebut.

Wasiat

Setelah binaan menara tersebut hampir siap, Syeikh Abdullah al-Qumairi jatuh sakit dan ditakdirkan meninggal dunia beberapa hari selepas itu. Sebelum wafat, beliau sempat meninggalkan wasiat agar jenazahnya dikebumikan di tanah yang rata berdekatan dengan menara yang hampir siap itu. Sekitar kubur beliau itu dinamakan orang dengan Padang Tok Syeikh.

Tuan Guru Haji Mahmud Nasri bin Utsman (tokoh yang menghidupkan Silat Abjad), pernah bercerita kepada murid-muridnya bahawa seorang wali Allah yang sangat terkenal iaitu Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi beberapa kali. Beliau juga pernah sembahyang di tempat tanah lapang di Gunung Jerai itu.

Kisah mengenai Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi itu dapat diterima akal kerana wali Allah tersebut wafat dalam tahun 561H/166M sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi wafat dalam sekitar tidak berapa lama setelah kedatangannya di Kedah itu (531H/1136M atau 1137M).

Mengenai Syeikh Abdullah Al-Qumairi

* Datang ke Kedah pada tahun 1136 atau 1137.

* Berasal dari Yemen.

* Mengislamkan maharaja Derbar/Durbar II di Istana Bukit Meriam.

* Menukar nama Raja kepada Sultan Muzaffar Shah I.

* Guru Sultan Muzaffar Syah I.

* Memberi nama Kedah Darul Aman.

* Mengarahkan dibina menara kebesaran Islam untuk azan di Gunung Jerai.