Saturday, December 27, 2008

Sejarah dari sudut Timur

Oleh DR. A. MURAD MERICAN

Sejarah mempengaruhi kesedaran kolektif kita. Apakah tahap kesedaran sejarah di kalangan para elit intelektual dan politik, serta rakyat di negara ini? Setiap warganegara adalah pengguna sejarah, sama ada kita inginkannya atau tidak. Sejarah bukan hanya apa yang telah terjadi, tetapi apa yang sedang dan apa yang akan terjadi.

Tahun 2007 merupakan 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Setengah abad bukanlah singkat. Akan tetapi di mana kita sekarang? Siapa kita? Tahap kesedaran sejarah yang rendah akan hanya seterusnya meminggirkan kita dari arus kemajuan dan pemodenan. Tanpa satu perspektif sejarah, kita akan hanya lemah ketahanan diri, hilang arah dan identiti. Sejarah hendaklah digunakan dengan seadil-adilnya. Sejarah merupakan senjata dan kuasa. Akan tetapi, siapakah pemilik sejarah kita?

Sejarah tidak boleh diubah. Apa yang dapat dinilai dan dirombak ialah penceritaan dan pengkisahan persejarahan. Kita tahu Francis Light mendarat di Tanjung Penaga (di mana terletaknya Esplanade dan Fort Corwallis) pada Ogos 1786. Dan kita tidak menafikan bahawa seorang ketua masyarakat Melayu di Tanjung Penaga pada masa itu ialah Nakhoda Kechil atau Ismail, yang berasal dari Payakumbuh, alam Minangkabau, telah menyambut pedagang Inggeris itu.

Nama-nama mereka yang terawal dari Nakhoda Light dan bila mereka bermastautin di Pulau Pinang (perlu dilihat sebagai Kedah), seperti Nakhoda nan Intan, Datuk Jannaton dan Datuk Setia, serta Datuk Kramat memang telah tercatat dalam pelbagai sumber yang diketahui umum - jurnal, buku, majalah dan akhbar yang diterbitkan sejak kira-kira tahun 1800-an lagi.

Persoalan
Dan cerita-cerita tentang kewujudan Melayu di Pulau Pinang sebelum Nakhoda Francis Light mendarat memang telah tersiar dalam media massa di Malaysia sejak dua dekad kebelakangan ini. Maklumat-maklumat itu bukanlah sesuatu yang baru dan menggemparkan.

Apa yang menjadi persoalan ialah pengiktirafan kewujudan penempatan Melayu awal di Pulau Pinang dalam persejarahan negara sebelum Francis Light. Secara logik yang amat asas sekali, jika sejarah telah memberi identiti dan pengiktirafan kepada pedagang Inggeris itu, mengapa sejarah tidak boleh melakukan yang sama kepada orang Melayu-Islam di Pulau Pinang yang wujud sebelum Light?

Mereka pun mempunyai identiti, mempunyai waris, serta juga mempunyai sejarah, sama seperti Light. Jika Light disebut sebagai berasal daripada Suffolk, England; Datuk Jannaton, Nakhoda nan Intan, dan Datuk Setia pun mempunyai tempat asal mereka, iaitu, Payakumbuh, Sumatera. Sebenarnya, apa yang kita ketahui sebagai fakta sejarah Pulau Pinang, Kedah dan negara kini ditentukan dan ditakrif oleh mereka yang berkuasa.

Namun demikian, persejarahan Malaysia hanya menyebut pedagang Inggeris itu sebagai menemui dan mengasas Pulau Pinang. Ia tidak menyebut Nakhoda Kechil, dan 30 orang penduduk Melayu lain di kawasan tersebut yang juga wujud pada masa yang sama dan di tempat yang sama. Kedua-dua Nakhoda Kechil, dan Nakhoda Light mempunyai roh dan jasad. Kedua-dua mempunyai nama dan identiti. Kedua-dua mempunyai pengikut. Tetapi, mengapa seorang dipinggirkan, dan dipadamkan dari sejarah; walhal seorang lagi diagung-agungkan, sekurang-kurangnya diiktiraf dalam sejarah Pulau Pinang, Kedah dan negara?

Adakah kerana Kapten Light seorang yang berasal dari Eropah, sedangkan Nakhoda Kechil berasal dari Dunia Melayu yang bernama Minangkabau yang dianggap terpinggir, lemah dan mundur itu? Sebenarnya, sejarah yang kita tahu ditulis dan disalurkan melalui institusi-institusi kolonial, termasuk sekolah, universiti, dan birokrasi. Dan institusi-institusi tersebut telah menanamkan ideologi kolonial ke atas hampir segala kehidupan kita - termasuk kesedaran tentang sejarah.

Apa yang kritikal di sini ialah penulisan, pengkajian dan sejarah sebagai satu institusi pada tahap akademik, dasar dan popular seperti yang wujud dan perlu wujud di Malaysia. Idea-idea tentang konsep pengasas (founder), penemuan (discovery) dan penciptaan (invention) ditentukan oleh penguasaan dan takrif dunia Oksiden (Eropah) ke atas wilayah bukan Oksiden.

Misalnya sejarah penciptaan mesin cetak dikaitkan dengan seorang tukang emas Jerman bernama Johannes Gutenberg pada kira-kira tahun 1456. Kaitan penciptaan mesin cetak dengan Eropah, dan bukannya dengan China adalah usaha menyusuri keistimewaan Eropah yang kononnya muncul bermula abad ke-15.

Buku saya, Media History (Penerbit Universiti Malaya, 2005) telah menceritakan bahawa sejarah lebih murah hati kepada Gutenberg sebagai orang yang mencipta mesin cetak. Penciptaan mesin cetak oleh Eropah yang dianggap sebagai fakta sejarah dalam persejarahan ketamadunan dan sains sealiran dengan pemikiran zaman penemuan Eropah yang tidak mempedulikan penjelajahan bangsa bukan Eropah. Dalam hal ini, usaha persejarahan dalam mengaitkan penjelajahan Eropah atau penciptaan mesin cetak dengan ketamadunan Eropah menjurus kepada satu mitos.

Bagaimanapun, sejarawan seperti Norman Davies dalam bukunya Europe: A History (1997) dan terdapat ramai sejarahwan dan sarjana seperti itu, memberi pandangan Eurosentrik yang menyambut penciptaan Gutenberg itu sebagai melancarkan satu revolusi dalam teknologi maklumat, dan dengan itu mengiktiraf keunggulan Eropah dalam semua bidang dan bentuk pemikiran manusia.

Dengan itu, berasaskan kepada logik Eurosentrisme dan ilmu kolonial, tercatatlah dalam persejarahan negara bahawa Stamford Raffles pengasas Singapura dan Francis Light pengasas Pulau Pinang, seolah-olah kedua-dua pulau di kepulauan Melayu itu tidak pernah diduduki dan dengan itu tidak ada sejarah. Sejarah negara hanya bermula dengan kedatangan orang-orang Eropah, yang dianggap unggul dalam sains dan tamadun.

Seperti yang lumrah diperhatikan, banyak bahan dalam bentuk halaman web, risalah pelancongan, penceritaan dalam bahan-bahan yang dipamerkan di institusi-institusi awam, serta dalam banyak buku tentang Pulau Pinang, disebut lebih kurang bahawa “The history of Penang began from 1786 after Captain Francis Light founded the island” (Sejarah Pulau Pinang bermua dari 1786 apabil Kapten Francis Light mengasaskan pulau itu).

Hal tersebut adalah ilmu yang dibentuk dan ini merangka kesedaran kolektif kita, serta menawan pengetahuan kita tentang sejarah. Pemikiran kita tertawan oleh sejarah.
Sejarah masyarakat kita, seperti sejarah masyarakat yang pernah dijajah adalah satu penceritaan yang ditindas. Malangnya, para sarjana dan cendekiawan Malaysia tidak berminat mencari dan membebaskan apa yang ditindas itu dalam satu usaha merombak persejarahan negara. Biasanya, kita tidak menyoal peraturan-peraturan formal disiplin, bidang dan paradigma ilmu dan bagaimana ia disusun, diwacanakan dan diteorikan.

Walaupun begitu, kita dapat mengenalpasti beberapa sarjana dan cendekiawan yang telah memulakan kajian dan mengasaskan pemikiran ke arah itu melalui pelbagai bentuk dan rupa, baik di Malaysia ataupun dilihat dalam konteks Asia Tenggara. Ini dapat dilihat dalam penulisan-penulisan oleh Syed Naquib al-Attas, abangnya, Syed Hussein Alatas, dan Syed Farid Alatas, anak Syed Hussein, yang bertempat di Singapura. Sarjana dan cendekiawan lain yang mempamerkan usaha ke arah itu ialah Osman Bakar, Chandra Muzaffar, Khoo Kay Kim, Shamsul Amri Baharuddin, Hairudin Harun, Mohd. Hazim Shah, Shahrir Mohd. Zain dan dari Singapura, Shaharuddin Maaruf. Pada masa yang sama juga, kita hendaklah meneliti penulisan-penulisan tokoh sarjana dan pejuang Filipina Jose Rizal, serta cendekiawan Indonesia seperti Armijn Pane dan Soedjatmoko.

Walaupun pendekatan dan orientasi mereka ini berbeza-beza, namun pemikiran mereka ini dicetus oleh hasrat mencabar dan merentasi pemikiran dan ilmu yang ditonjolkan melalui pelbagai bentuk - orientalisme, sekularisme, kolonialisme, Eurosentrisme, dan lain-lain.

Tidak seperti mereka tersebut, umumnya di Malaysia, tidak ada pergerakan di kalangan profesor dan sarjana di universiti-universiti tempatan yang melihat konsep-konsep seperti imperialisme, teori dan sejarah sebagai satu masalah. Kita dididik, dilatih dan diorientasi oleh sistem yang melihat konsep-konsep itu sebagai berkecuali dan bukan ideologikal; sedangkan ia merupakan kata-kata dan konsep-konsep yang penuh emosi. Keadaan tersebut telah memadamkan dan meminggirkan budaya dan ilmu dalam konteks kehidupan dan alam Melayu. Malah perspektif-perspektif alternatif dicemuh dan dihina dalam wacana-wacana akademik dan popular.

Di sini agak baiknya kita belajar daripada India. Negara itu telah melahirkan ramai sarjana, cendekiawan dan ahli falsafah yang telah menerokai ilmu berlandaskan kepada perspektif mereka dan kadangkala mengambil pendirian intelektual bertentangan yang agak ekstrem dalam mengkaji permasalahan dan pengalaman sejarah etnik, nasional dan khazanah peradaban sendiri.

Malah diwujudkan wacana yang dapat dirangkumkan dalam aliran yang disebut sebagai ‘subaltern studies’ - satu gugusan pengajian yang mewakili mereka yang dipinggirkan - sama ada dari segi etnik, agama, jantina, kelas ekonomi dan sebagainya. Kolektif ini, yang diasaskan oleh Ranajit Guha, merupakan satu kumpulan pengajian para sarjana di benua kecil itu yang berminat dalam kajian pasca kolonial dan pasca-imperial di Asia Selatan khususnya dan di dunia bukan Barat yang lain amnya. Kemunculannya dalam tahun 1980-an adalah satu usaha membentuk satu naratif baru bagi sejarah India dan Asia Selatan.

- PROF. MADYA DR. A. MURAD MERICAN ialah Pengerusi, Pusat Sejarah Intelektual dan Pemikiran Melayu (Centis) di Universiti Teknologi Mara dan Penasihat, Persatuan Warisan Melayu Pulau Pinang.

PS : Apabila ada yang memulakan kajian, mereka-mereka yang ditakuk pemikiran lama mengatakan ia kisah dongeng. Inilah kononnya sejarawan bangsa melayu hari ini, pengecut dan bacul untuk berfikiran kritikal.

Wednesday, December 24, 2008

Kelopak Jantung, Suara Bicara Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah


Kami merujuk kepada Kelopak Jantung, Suara Bicara Persatuan Sejarah Negeri Kedah Darul Aman bilangan 14/2008 dan 15/2008.

BIL 14/2008, 17 JAMADULAKHIR 1429H/21 JUN 2008

Ingin kami menegaskan bahawa tindakan TNL Kasim menghantar surat-surat tuntutan adalah berlandaskan kepada hak-hak beliau sebagai individu dan rakyat Malaysia. Beliau menulis surat dan menuntut hak-hak beliau yang selama ini telah dipinggirkan oleh kerajaan yang memerentah terdahulu. Yang dituntut beliau ialah takhta dan aset Sultan Jaafar Muadzam Syah 1862-1876 dan bukannya takhta dan aset Kesultanan Kedah hari ini. Sultan Jaafar yang dimaksudkan ada tercatat namanya dalam buku Cempakasari seperti berikut,



Sila klik untuk besarkan. Long Jaafar@Sultan Jaafar Muadazam Syah setelah ditabal menjadi Yang Di Pertuan Kedah telah melantik Ngah Ibrahim menggantikan tempat baginda terdahulu. Memang benar ayahanda baginda adalah dari keturunan Tun Saaban iaitu Hang Tuah, terakhir menjadi Raja Acheh bergelar Iskandar Mahkota Alam.

Tuntutan-tuntutan beliau adalah berkenaan hak-hak beliau, bukannya hak kita. Kalau hak kita yang dituntut mungkinlah kita rasa tersinggung tetapi ini berkaitan dengan hak beliau. Apa pula perasaan kita sekiranya hak-hak kita dicabul? Apakah kita akan duduk mendiamkan diri sahaja? Memang betul hak beliau melibatkan orang lain, kalau begitu bersemukalah dan duduklah berbincang walau apa sekali pun rintangan yang ada. Kalau masih juga tidak berpuas hati masih ada lagi saluran lain yang ada untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit.

Yang peliknya, pihak PSMCK (Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan kedah) pula tidak pernah berusaha untuk menghubungi dan menemui beliau bagi berbincang mengenai dakwaan-dakwaan beliau walaupun selepas menganjurkan Forum Sejarah Realiti Kedah pada September 2006 dahulu. Tidak ada ‘follow up’dari forum tersebut walaupun sudah 2 tahun lebih ia diadakan. Apa guna diadakan forum tersebut sekiranya tidak ada resolusi dan usaha untuk memahami wasiat serta bukti-bukti yang ada tercatat dalam UUK dan sumber rujukkan lain?

Kenapa PSMCK menggunakan realiti sebagai tajuk forum sedangkan dalam kelopak jantung pula Pengerusi PSMCK mengatakan TNL Kasim telah “…mengubah fakta sejarah sebenar dan cuba menimbulkan kecelaruan. Beliau juga mengatakan “..mengandungi fantasi dan khayalannya sahaja…”. Khayalan yang bagaimana yang dimaksudkan apabila Pengerusi PSMCK sendiri menulis artikel mengenai kewujudan Putera Raja Ligor berpusat di Alor Ganu (1821-1839), ....yang menulis surat beradat dalam teks jawi kepada pegawai pegawai Inggeris di mukasurat 30 dan 31, buku Warisan Mahawangsa Kedah. Secara tidak langsung ia membuktikan Raja Ligor wujud sepertimana puteranya juga. Raja Ligor ialah Khalifah Syariff Abu Bakar Syah sementara Putera Ligor ialah Sultan Mud Zaffar Syah III. Catatan di atas itu bukan kami yang tulis, beliau sendiri yang menulis artikel tersebut.

Kenapa PSMCK menggunakan sikap ‘bo layan’ kepada TNL Kasim selepas forum Sejarah Realiti Kedah? Kepentingan siapakah yang dijaga sebenarnya?

Mengenai Sultan Abdul Hamid pula bukan generasi kami hari ini membenci dia malah kami pun turut mendoakan agar roh almarhum di cucuri rahmat, kami cerita mengenai kebenaran sejarah, apa yang sebenarnya yang berlaku sepertimana yang diketahui oleh keluarga kami. Kalau orang lain selain dari waris Syarif Yang Di Pertuan mungkin agaknya kita boleh katakan zalim. Akan tetapi hanya kami waris yang sebenar yang boleh menerangkan dan memperkatakan perkara ini sebab kami dari golongan yang melantik, bukan yang kena lantik. Jadinya, soal derhaka kepada raja tidak timbul langsung. Yang tuduh TNL Kassim ini zalim, perlu la tahu kadar diri sikit.

Agaknya pihak PSMCK terlepas pandang ms 48, Undang-Undang Kedah dimana jelas tercatat," Demikian lagi yang bangsa raja itu, jika miskin sekali pun ia dipertengku dan diperpatik juga; maka duduknya pun keataslah kerana ia bangsa raja"

Seperkara lagi mengenai sejarah Kedah ini, kita selalu lupa golongan yang berkuasa untuk melantik dan golongan yang kena lantik untuk berkuasa. Kita tahu TNL Kassim adalah dari keturunan golongan yang melantik mereka untuk berkuasa (bermula dari Perdana Menteri Kedah). Kata beliau, “saya bukannya hendak riak tapi pun faham-faham sajalah. Saya pun bukan ada kepentingan apa-apa seperti orang lain. Saya tak perlu itu semua, lagi pun takkanlah golongan yang dilantik nak bagi pingat kat saya dari golongan yang dulunya melantik mereka?”ujar beliau lagi sambil ketawa.“Saya cuma mahukan hak-hak saya dan sejarah Kedah yang digelapkan di perbetulkan semula”

Bagi kami dakwaan-dakwaan beliau bukan semuanya tidak berasas. Banyak bukti-bukti yang beliau maklumkan dalam wasiat kepada kami telah kami temui kemudiannya. Apakah PSMCK akan menghadapi kerugian sekiranya dakwaan-dakwaan beliau itu salah. Tak mungkin sampai begitu sekali, paling tidak akan menambah pengetahuan yang sedia ada mengenai sejarah Kedah. Banyak fakta sejarah Kedah boleh direkodkan dari beliau dan ini adalah lebih baik untuk Kedah dan rakyatnya, bukan untuk kepentingan individu tertentu. Salah atau betul dakwaan beliau kita adili kemudian melalui perbincangan atau resolusi forum.

Kami kira tidak salah kalau beliau ingin menulis dalam internet. Banyak penulisan beliau sebelum ini tidak dilayan oleh media tempatan kerana mereka takut untuk menyiarkannya. Hari ini bermacam-macam artikel yang kami temui terdapat dalam internet mengenai sejarah Kedah dan sejarah negeri lain yang ditulis oleh individu lain. Kenapa blog ini pula yang menjadi tumpuan, pasti ada sesuatu yang menarik perhatian pihak PSMCK. Ada penulisan sejarah yang kami temui betul, ada yang kurang tepat dan ada yang salah. TNL Kassim menulis pun menurut wasiat, pengalaman dan pengetahuan beliau sendiri, maklum sajalah umur beliau pun bukannya muda, sudah melebihi 70 tahun.

Seperkara lagi mengenai wasiat dan tuntutan wasiat dalam Islam. Apakah kita sebagai individu beragama Islam sanggup megenepikan tuntutan wasiat ini dalam Islam. Kita pun bukanlah nak hidup selama-lama nya. Paling tidak usaha kita ke jalan Allah, ini lah sebahagian dari nya, sebelum kita meninggalkan dunia yang fana ini. Wasiat ini bukan sahaja diturunkan kepada beliau malah juga kepada saudara anaianai, kaum keluarga terdekat yang lain dari jurai waris yang sama. Kaum keluarga kami, ada yang turut menerima wasiat ini telah menjadi ahli PSMCK (dah berzaman) tetapi memihak kepada wasiat keluarga yang telah ditinggalkan dahulu. Ringkasnya, kami pun sedikit sebanyak tahu apa yang PSMCK buat.

Kami, ahli keluarga dan waris Syarif Abu Bakar Syah Yang Di Pertuan Kedah sentiasa mengalu-alukan apa saja usaha PSMCK, kerajaan negeri atau pihak lain untuk membetulkan sejarah Kedah melalui sebarang jawatankuasa yang ditubuhkan. Tiada apa yang kami perlu takutkan kerana kami ada bukti bertulis yang nyata dan jelas(sepertimana tercatat dalam Undang-Undang Kedah dan buku Cempakasari). Kami bersedia pada bila- bila masa untuk bertemu dan berbincang dengan mana-mana pihak demi menegakkan kebenaran dan keadilan.

PS : Di penghujung artikel PSMCK menyebut langkah yang boleh di ambil terhadap TNL Kassim? Mungkin ada yang sangka waris Khalifah Syarif Abu Bakar Syah Yang Di Pertuan Kedah yang masih ada hari ini miskin hina dina, hidup di kampung-kampung dan takut untuk bertindak balas. Nampak gayanya bukan mereka nak menjernihkan keadaan tetapi mengeruhkan lagi keadaan sedia ada.

BIL 142008, 12 REJAB 1428/15 OGOS 2008

PSMCK menyebut bahawa terdapat ahli keluarga TNL Kasim yang datang untuk berbincang dengan mereka di Perpustakaan Muzium Negeri pada awal julai 2008 jam 10 pagi (tarikh tidak di sebut).

Kami ingin memaklumkan kepada semua bahawa pada pengetahuan kami tidak ada wakil atau keluarga TNL Kassim yang datang untuk menemui Pengerusi PSMCK untuk berbincang mengenai apa yang dilabelkan sebagai tindakan liar TNL Kasim.

TNL Kasim tidak pernah menyebut Sultan Syariff Syah sebagai Raja thai seperti
mana tercatat dalam buletin PSMCK seperti tarikh diatas. Artikel dalam blog ini sentiasa menyebut Raja Siam sebagai beragama Islam dan Raja Thai sebagai beragama Buddha.

Sekiranya mereka yang datang itu adalah dari keturunan anakanda Syarif dari anak-anak kedua dan ketiga dan seterusnya dan bukan dari anak pertama iaitu Sultan Mud Zaffar Syah III mereka tidak ada hak untuk meluahkan pendapat sebagai Waris Syarif Yang Di Pertuan kerana mereka bukan waris mutlak.

Waris-waris ini tidak menerima wasiat dan hanya melalui TNL kasim barulah mereka mengetahui siapa ayahanda kepada nenek moyang mereka sebenarnya. Keluarga utama TNL Kassim tetap menerima mereka sebagai adik pupu kami hinggalah ke hari ini. Agak menarik juga apabila buletin PSMCK menyebut nama Khalifah Syarif Abu Bakar Syah sebagai Sultan Syariff Syah tetapi sebelum pada ini nama beliau lenyap begitu sahaja dari rekod sejarah Kedah, cuma kadangkala disebut sebagai Raja Ligor sahaja. Ramai pembaca tersasar dan beranggapan Raja Ligor adalah dari bangsa Thai dan beragama Buddha.

Hikayat Patani ada menyebut Khalifah Syarif Abu Bakar Syah sebagai Raja Bakar atau nambang (air telok) Sila baca disini tapi awas ketika membaca kerana penulisnya terpengaruh dengan agenda melayu dan menyebut Raja Thai sebagai Raja Siam pada hal Raja Thai telah menawan Ayuthia dalam tahun 1767 dan mengusir Raja Siam iaitu Raja Bakar ini. Penulis mungkin menulis kisah ini dari riwayat yang direkodkan semula (bagus juga). Walau pun ditulis tanpa tahun kita tahu kisah ini pastinya berlaku antara tahun 1767 hingga tahun musuh bisik 1821.

Sial rujuk disini,
http://www.geocities.com/prawat_patani/chapter3.htm


Berkenaan dengan saya, mereka juga ada menyebut nama saya secara tidak lengkap dalam buletin mereka. Namun saya tetap anaianai yang menulis dalam blog ini bersama rakan-rakan yang lain. Izinkan saya menceritakan serba sedikit mengenai saya. Saya menerima wasiat dari datuk saya sepertimana TNL Kasim, abang pupu saya dan dengan itu kami ada tanggungjawap dari segi hukum agama Islam.


anaianai, tanggal nov2008

Izinkan saya menceritakan tentang diri saya. Saya, Nai Long Mazlan Nai Long Abdul Majid adalah cucu kepada Tok Nai Bannui yang bermaksud Tok Syed Putra Bongsu. Kalau pihak PSMCK tidak tahu, silalah pergi mengadap DYMM Tunku Sultan Kedah dan bertanya kepada baginda siapa dia Tok Nai Bannui ini. Melalui Tok Nai Bannui banyak kisah-kisah dahulu yang saya ketahui kerana saya cucu yang rapat dengan Allahyarham.

Saya juga adalah menantu kepada Cik Gayah binti Mahmud @ Tuan Kerani Mahmud yang mengepalai lanskap dalam kawasan istana Anak Bukit sewaktu pemerentahan Sultan Abdul Hamid dulu. Dari mana asalnya Kerani Mahmud ini?, tak lain dari istana Raja Siam di Ayuhthia dulu. Jadi banyaklah kisah istana yang saya tahu di zaman Sultan Abdul Hamid Halim Syah dahulu.

Nak tahu lagi siapa saya? Saya juga adalah cucu saudara kepada Tunku Fariddudin Haji @ Tunku Farid, bapa saudara sepupu ke bawah DYMM Tunku Sultan Abdul Halim Syah. Saya masih ingat Yangku (panggilan saya) menulis dan merekodkan semula salasilah Kesultanan Kedah dahulu sewaktu bertugas sebagai Pegawai Daerah di Yan, Kubang Pasu, Sik, Kuala Muda dll, disamping kemahirannya melukis potret.

Seperkara lagi, saya bukan berjawatan Pensyarah tetapi Pensyarah Kanan DM52. Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari UITM dalam tahun 1984 dan Ijazah Sarjana dari UK dalam tahun 1990 tetapi bukan dalam bidang sejarah. Ini tiada masalah bagi saya kerana pada tahap saya sebagai ahli akademik IPT selama lebih 21 tahun , saya mudah sahaja mempelajari apa bidang yang menimbulkan minat saya lebih-lebih lagi sejarah keturunan saya. Lagipun sejarah memang subjek kegemaran saya dan merupakan electives saya sewaktu menuntut dahulu.

Pihak UiTM juga menyarankan agar supaya kakitangan akademiknya mengamalkan "multidisciplinary" selain bidang pengkhususan utama agar universiti menjadi lebih cemerlang.

Nama saya pernah diusulkan untuk membuat PhD namun saya lebih berminat untuk membuka program baru di kampus Kedah, negeri asal keturunan saya. Saya adalah perintis kepada Program Industrial Design di UiTM Kedah bertepatan dengan kewujudan kilang Modenas, Naza di Gurun Kedah dan industri lain di Sungai Petani dan Kulim High Tech. Hari ini pada usia menjangkau 50 tahun saya sebagai pewaris Datuk Ku Raja Chenak Syed Alang Alauddin Panglima Bukit Gantang tidak gentar kepada sesiapa pun demi menegakkan kebenaran sejarah keturunan nenek moyang saya kerana saya turut menerima wasiat.

Akhir sekali disebut dalam buletin tersebut bahawa mereka-mereka ini kononnya bersetuju untuk mengadakan forum atau diskusi sejarah Kedah. Saya harap PSMCK bertindak dengan lebih bijak dengan menjemput mereka-mereka yang berkaitan, seperti waris mutlak kepada Khalif Syarif Abu Bakar Syah Yang Di Pertuan Kedah dan waris terdekat untuk turut menghadiri forum atau diskusi tersebut. Akan tetapi setakat hari ini, sudah 6 bulan berlalu belum ada apa-apa khabar berita lagi.

Sekian terima kasih.

BERANI KERANA BENAR, TAKUT KERANA SALAH

Thursday, December 18, 2008

Mencari kebijaksanaan baru daripada dokumen sejarah

oleh: Baharom Mahusin
Utusan Malaysia,Jumaat 12 Disember 2008

SALAH sebuah buku penting yang harus dibaca untuk kita memahami pemikiran Barat ialah kompilasi dokumen, ucapan dan perjanjian yang terkandung dalam buku The Great Documents of Western Civilization tulisan Milton Viorst.
Buku itu menyenaraikan teks-teks bersejarah yang membentuk sistem sosial dan pandangan hidup orang Barat bermula dari zaman empayar Rom pada tahun-tahun Sebelum Masihi sehingga kepada persetiaan Magna Carta di England pada 1215 dan dokumen-dokumen lain yang merupakan teks perjanjian yang membentuk orde dunia moden.
Di Malaysia, satu usaha dibuat baru-baru ini untuk menyenaraikan perjanjian dan dokumen lama yang sudah menjadi sebahagian daripada sejarah tetapi implikasinya amat besar kepada kehidupan, sistem sosial dan politik negara. Buku Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia 1791-1965 terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) itu dihasilkan dengan kerjasama Arkib Negara.
Seperti juga apabila kita terpesona membaca teks ucapan Their Finest Hour yang disampaikan oleh Perdana Menteri Britain, Winston Churcill pada tahun 1940 ketika Britain menjadi satu-satunya kerajaan Eropah yang belum tumbang dan berseorangan menentang kemaraan tentera Jerman dalam Perang Dunia Kedua yang turut menjadi sebahagian daripada kandungan buku The Great Documents of Western Civilization, kita akan turut merasakan debaran apabila membaca buku Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia 1791-1965.
Buku itu dilancarkan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di bangunan Parlimen semalam. Dalam buku itu Pengerusi ITNM, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh menulis prakata dengan mengingatkan bahawa perjanjian dan dokumen lama itu merupakan bukti bagi pelbagai peristiwa penting yang berlaku antara pihak pemerintah dengan pihak penjajah yang selama ini terkunci dan tidak diketahui apa sebenarnya berlaku pada zaman tersebut. "Kita akan mendapat maklumat yang akan mengubah persepsi kita tentang apa yang termaktub dalam sejarah," katanya.
Di Istana Mestika di Shah Alam, Selangor, buku itu telah pun ada di atas meja kerja Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah minggu lalu dan sudah pun dibaca oleh baginda. Sudah tentu ia kini juga telah ditelaah oleh sultan-sultan dan raja yang lain. Para pemimpin politik dan pegawai kanan kerajaan juga wajib membaca buku tersebut untuk membolehkan mereka mendapat pengajaran berharga supaya tidak terperangkap dalam perjanjian tertentu yang pada kemudian hari mungkin membelit dan mengorbankan diri sendiri.
Antara bahan dalam buku itu yang benar-benar membuka mata ialah perjanjian antara Raja Perlis dengan Great Britain yang dirancang oleh wakil Raja Inggeris, Sir Harold MacMichael pada 4 Disember 1945. Perjanjian ke arah membentuk Malayan Union itu secara jelas menunjukkan Raja Perlis ketika itu bersetuju 'bagi pihak diri sendiri, waris dan pengganti baginda' bahawa 'Baginda King Great Britain hendaklah mempunyai kuasa dan bidang kuasa yang sepenuhnya ke atas negeri Perlis'.
Jika tidak kerana tentangan orang Melayu khususnya melalui UMNO selepas Perang Dunia Kedua, Perlis hari ini mungkin masih merupakan sebahagian daripada tanah jajahan Inggeris.
Kira-kira 22 tahun sebelum itu, pada 1 November 1923, Sultan Kedah menandatangani perjanjian perhubungan persahabatan dengan Inggeris. Dalam dokumen itu dinyatakan bahawa negeri Kedah hendaklah kekal di bawah naungan King Great Britain yang akan menjalankan hak ketuanannya.
Dinyatakan juga bahawa 'pengganti Sultan hendaklah terdiri daripada seorang keturunan langsung Sultan Abdul Hamid Halim Shah atau keturunannya yang dipilih oleh Majlis Negeri dan diterima oleh Baginda King Great Britain'. Ertinya, menerusi perjanjian itu, Baginda King Great Britain turut mempunyai hak untuk menentukan siapa yang akan menjadi Sultan Kedah ketika itu.
Butiran perjanjian itu menunjukkan raja- raja dan negeri Melayu berada dalam keadaan yang amat lemah ketika empayar Great Britain tengah di puncak kekuasaan dengan menguasai kira-kira satu perempat daripada daratan dunia, dengan tanah jajahan yang terbentang luas dari Jamaica di Caribbean sehingga ke Australia di Pasifik.
Buku Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia 1791-1965 setebal 236 halaman itu juga menerbitkan kembali teks perjanjian Sir Stamford Raffles dengan Datuk Temenggung Seri Maharaja Abdul Rahman yang memerintah Singapura pada 1819.
Dalam perjanjiannya dengan Raffles, Temenggung Abdul Rahman bersetuju bahawa beliau 'ada perjanjian selama-lamanya dengan kompeni Inggeris boleh duduk dan pelihara seperti janji ini tiada ia boleh masuk bicara atau lepas di dalam daerahnya pada segala bangsa yang lain daripada bangsa Inggeris'.
Perjanjian 'selama-lamanya' itulah yang menjadi titik tolak kepada terlepasnya Singapura daripada penguasaan Johor dan kira-kira 146 tahun kemudian pulau itu menjadi sebuah republik berasingan yang didominasi oleh orang Cina.
Selain memaparkan sistem politik dan pengaruh penjajah Inggeris yang ingin membolot sumber ekonomi Tanah Melayu, teks-teks perjanjian yang ditandatangani oleh pemimpin Melayu dengan Inggeris juga menampakkan pertembungan antara agama.
Dalam Persetiaan Naning 1801 yang turut ditandatangani oleh Dol Said dengan pegawai Inggeris di Melaka, penghulu dan pembesar Naning bersetuju menjual bijih timah hanya kepada kompeni Inggeris.
Perjanjian itu juga mendedahkan secara terbuka konflik agama ketika itu.
Perkara Sepuluh Persetiaan Naning menyebut 'mana-mana hamba lelaki dan perempuan yang dipujuk lari dari Naning ke Melaka, bagi memeluk agama Kristian, maka tuan punya hamba itu akan menerima ganti rugi sebanyak separuh daripada harga hamba itu, mengikut penilaian jawatankuasa yang akan dilantik kerajaan'.
Persetujuan itu kemudian diikuti Perkara Sebelas perjanjian tersebut yang juga memperkatakan isu yang sama. "Tetapi (jika) mana-mana orang menjual mana-mana hamba beragama Kristian atau orang biasa dari Melaka kepada orang Islam atau orang Pagan, sama ada dengan kerelaan mereka sendiri atau digoda ataupun dilarikan secara paksa daripada tuan mereka, lebih-lebih lagi mereka yang menggoda hamba Kristian atau orang biasa supaya berkhatan atau menggunakan kekerasan bagi mempengaruhi mereka menjadi orang Islam, nyawa mereka akan melayang dan harta benda mereka dirampas."
Yang menarik dalam perjanjian itu ialah penghulu dan pembesar Naning - termasuk Dol Said yang terkenal dalam sejarah kerana keberanian menentang Inggeris - berjanji dan bersumpah dalam Persetiaan Naning 'menggunakan al-Quran, atas nama masyarakat Naning, bahawa mereka akan mematuhi dengan sesungguhnya segala perintah yang ditetapkan dalam perkara-perkara ini, dan mengikat diri mereka bagi menyerahkan mana-mana pencabul perintah tersebut kepada Syarikat Hindia Timur, supaya hukuman boleh dikenakan ke atas orang itu'.
Persetiaan itu dibuat dan diikrarkan di Kota Melaka pada 16 Julai 1801. Teks Persetiaan Naning itu menampilkan betapa keras sikap penjajah Inggeris dalam mempertahankan anutan agama Kristian kumpulan tertentu di Melaka. Dalam respons mereka, para pemimpin Melayu yang hidup 200 tahun lalu bersumpah menggunakan al-Quran bagi mematuhi apa yang penjajah Inggeris itu inginkan.
Teks tauliah yang dibuat oleh Sultan Brunei pada tahun 1877 yang melantik seorang pengembara Jerman, Gustavus Baron de Overbeck sebagai Maharaja Sabah dan Raja Sandakan juga perlu menginsafkan kita. Dalam tauliah itu, Sultan Brunei yang mendapat bayaran pajakan 15,000 dolar setahun nilai wang ketika itu telah memberikan Overbeck 'kuasa hidup dan mati ke atas penduduknya, dengan segala hak mutlak ke atas harta yang terletak hak kepada beta bagi isi bumi negeri ini dan hak untuk melupuskan harta itu dan juga hak ke atas pengeluaran hasil bumi negeri ini'.
Tauliah lima perenggan itulah yang menjadikan Brunei sebuah negara kecil seperti yang kita ketahui sekarang.
Buku Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia 1791-1965 itu, sebagaimana juga The Great Documents of Western Civilization tulisan Milton Viorst, memberikan kita pemahaman tentang sejarah silam.
Kepada orang yang telah membaca buku itu, pemahaman yang diperoleh seharusnya merintis kepada suatu kesedaran yang amat mustahak dipegang selama-lamanya iaitu kita perlu menjadi bijaksana dalam mempertahankan hak kita dan negara ini.

PS : Dah terang lagi bersuluh..Haruskah kita berada di takuk lama dalam mengkaji dan meneliti semula sejarah agama, bangsa dan negara kita? Sekiranya mereka yang berwajib tidak bertindak, masih berada di takuk lama, adakah orang lain yang lebih akalnya untuk berfikir harus di persalahkan?

Monday, December 8, 2008

AIDIL ADHA DATANG LAGI

Kami ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha 10 Zulhijjah 1429 kepada semua pembaca dan pengikut/pengunjong blog ini. Sesungguhnya siapalah kami tanpa sokongan dari anda semua.

Akhir-akhir ini kami tidak menulis bukan kerana kekurangan bahan tetapi kerana kami merasakan telah banyak bukti yang telah kami utarakan di sini. Kami tidak ingin menambah yang bukan-bukan, sekadar cukup untuk saudara/i renungkan kembali sejarah tanah air kita yang dicintai ini, dimanakah berlaku kepincangannya.

Bukti pun jelas tercatat dalam manuskrip Undang-Undang Kedah, Sejarah Patani dan juga beberapa buah buku dan penulisan lain yang berkaitan seperti, "A History of South East Asia", DGE Hall, catatan Tom Pires dan petikan penulisan dari internet oleh penulis dan pengkaji sejarah timur dan barat, malah ahli akademik negara Thailand sendiri. Bukan kami yang menulis ini semua, sekadar membuktikan kepada saudara sahaja.

Jelasnya, bagi kami memang berlaku konspirasi sejarah oleh penjajah yang menjajah kita dahulu. Terlanjur bercakap, mungkin boleh di hantar surat tuntutan saman guaman kepada Kerajaan Britain kerana menyembunyikan sejarah realiti dan manuskrip UUK selama hampir 100 tahun lebih. Apabila UUK disembunyikan, mereka tidak menyerah kembali kuasa yang mereka rampas kepada yang berhak sewaktu Malaysia mencapai kemerdekaan dahulu. Lalu kita meninggalkan undang-undang Islam sepertimana tercatat dalam UUK dan menggunakan Common Law mereka.

Pada masa yang sama kami menghantar surat resmi dan membuat tuntutan sewajarnya kepada pihak yang berwajib akhir-akhir ini. Jadi tidak hairanlah sekiranya Raja Thailand tiba-tiba dilapurkan kurang sihat, mungkin kerana membaca surat tuntutan Tunku Nai Long Kassim. Beliau mungkin terkejut agaknya apabila mengetahui waris Raja Siam terakhir bergelar Boromoraja Ekataat V, Khalifah Syarif Abu Bakar Syah, Yang Di Pertuan Yang Maha Mulia masih ada hari ini di Malaysia. (Sanggupkah dia membayar ex gratia payment yang dituntut, bukan sekupang dua...dengar kata berjuta dolar..hehehe)

Kami juga ada menghantar surat kepada pemimpin politik kerajaan dan pembangkang, raja-raja kesultanan Melayu, juga pemimpin negara yang berdekatan dengan Malaysia. Manalah tahu mungkin selepas ini jawatan Yang Di Pertuan Agong Malaysia tidak lagi bersilih ganti setiap 5 tahun seperti rumah tidak bertuan. Proses pertukaran setiap 5 tahun ini tetap ada kepada jawatan Timbalan Yang Di Pertuan Agong sepertimana berlaku di bawah kerajaan Empayar Islam Benua Siam dahulu.
Ini andaian kami sahaja. Banyak yang kami renungkan sebenarnya, bukan mendiamkan diri.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha 10 Zulhijjah 1429 hijrah.