Saturday, April 26, 2008

Renungan

UPDATED

Penulisan semula sejarah kita yang di pinggirkan di blog ini telah berjaya menarik minat pelajar-pelajar IPT, individu dan waris-waris yang mencari salasilah, pengkaji dan penyelidik sejarah kerana ia ditulis dalam perspektif atau versi tempatan berteraskan kepada wasiat yang diperturunkan lantas menjadi tuntutan utama agama islam.

Disamping itu, kami menjadikan rujukkan utama kami Manuskrip Undang-Undang Kedah yang dibukukan oleh Dewan bahasa dan Pustaka dalam tahun 2005. Manuskrip ini bukannya sebuah hikayat, dengan cerita dongeng yang mengkhayalkan minda, tidak berpijak dibumi yang nyata. Ia merupakan undang-undang pemerentah Islam pada zaman dahulu. Dalam manuskrip ini pemerentahnya bergelar Syah Alam Yang Maha Mulia dan bukannya Paduka Seri Sultan.

Dari muka surat pertama, Manuskrip Undang-Undang Kedah. Ulu yang dimaksudkan disini ialah Ulu Melaka di Pulau langkawi sementara kita semua tahu Hilir Melaka ialah di Bandar Hilir Melaka hari ini.



Gelaran Paduka Seri Sultan hanyalah digunakan oleh raja-raja daerah yang dilantik oleh Syah Alam Yang Maha Mulia dan hari ini mereka berkuasa di negeri-negeri yang dulunya diukir oleh Inggeris. Dengan itu, sudah pastilah gelaran Syah Alam Yang Maha Mulia ini membawa maksud yang jauh lebih besar. Bagi kami, gelaran ini tak lain tak bukan ialah gelaran yang merujuk kepada Yang Di Pertuan Agong yang memerentah wilayah-wilayahnya ketika itu.

Dari muka surat 27, Manuskrip Undang-Undang Kedah.



Untuk pengetahuan pembaca semua, dari sinilah Tunku Abdul Rahman mendapat ilham mengujudkan jawatan Yang DiPertuan Agong di Malaysia hari ini. Namun bagitu, jawatan ini digilirkan (setiap 5 tahun) dikalangan raja-raja daerah yang mana hari ini telah pun menjadi sultan dalam negeri-negeri yang diukir oleh penjajah Inggeris. Tunku Abdul Rahman , sebagai Perdana Menteri mempunyai agenda tersendiri apabila mengarahkan Istana Kota Meang Kuang dimusnahkan dalam tahun 1964, iaitu 7 tahun setelah negara mencapai kemerdekaan. Apa agenda sebenar beliau berbuat begitu, memusnahkan bukti dan artifak sejarah negara?

Tindakan kita hari ini dalam mengilirkan jawatan Yang Di Pertuan Agong ini kami ibaratkan seperti rumah tiada bertuan, padahal Malaysia mempunyai maharaja yang tetap sebagai Ketua Agama Islam. Contoh Maharaja yang tetap adalah sepertimana Raja Arab Saudi (juga dicaturkan oleh Inggeris), Raja Jordan dll, sementara maharaja bukan Islam seperti Maharaja Jepun, Queen of England, Raja Thailand, dll. Anehnya, apabila penjajah memulangkan kemerdekaan kepada kita, kita tidak kembali kepada akar umbi tetapi mengambil common law Inggeris sebagai contoh untuk menderaf perundangan Malaysia.

Diantara strategi penjajah Inggeris ketika itu antara lainnya ialah memberi pendidikan Inggeris kepada anak-anak pembesar Melayu agar generasi baru yang akan menuntut kemerdekaan akan lupa kepada akar umbi mereka iaitu perundangan Islam. Penjajah turut juga 'memelayukan' penduduk yang tinggal dalam wilayah jajahan mereka padahal rumpun kita adalah Siam, Bugis, Mandaling, Minang, Jawa, Banjar, dll. Hal ini tidak berlaku di Sabah dan Sarawak. Mereka jugalah yang menukar nama semenanjong ini dari Semenanjong Melaka @ Semenenjong Siam Melaka (lihat peta lama) kepada Semenanjong Tanah Melayu.

Semenanjong Tanah Melayu atau Semenanjong Melaka? Sekiranya Semenanjong Tanah Melayu, kenapa selat disebelahnya dipanggil Selat Melaka, bukannya Selat Tanah Melayu?. Menurut Tom pires, "The land of malacca is called a land of Siam, and the whole of Siam, Champa and thereabouts is called China". Teringat saya tentang "The Three Kingdoms" iaitu India, China dan Jepun.


Kami katakan disini dengan tegas bahawa isu sejarah realiti diblog ini telah pun didedahkan kepada umum dan hukum Qutbah Wida masih lagi berjalan. Sebagai orang Islam dan rakyat Malaysia, isu ini kita tidak boleh nafikan atau menidakkannya lagi kerana ia sudah menjadi tuntutan agama Islam.

Kita lihat petikan Khutbah Wida iaitu khutbah terakhir baginda Rasulullah SAW pada 9 Zulhijjah, Tahun 10 Hijrah di Padang Arafah,

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang."
http://expanzee.blogspot.com/2006/12/khutbah-terakhir-nabi-muhammad-saw.html

Hari ini, kita sudah tahu bahawa waris mutlak Syah Alam Yang Maha Mulia ini masih ada hingga kini dan semenjak kecil lagi beliau dipaksa menghafal wasiat untuk didedahkan kepada kita hari ini. Sekiranya ada rekod bertulis dikhuatiri akan menjadi bukti oleh penjajah Thai dan Inggeris untuk membunuh waris-waris mereka, sepertimana yang berlaku keatas Raja Russia, Czar Nicholas II yang dibunuh seluruh ahli keluarganya. Wasiat yang beliau terima adalah seiring dengan apa yang tercatit dalam Undang Undang Kedah padahal manuskrip ini baru saja dibukukan pada tahun 2005 !!

Namun hari ini mereka yang berkuasa dan raja-raja kita yang menjadi ketua agama Islam dinegeri masing-masing, turut memekakkan telinga mereka, terus mendiamkan diri mengenai tuntutan-tuntutan beliau. Kadangkala kita mudah lupa dengan siapa kita memekakkan telinga itu kerana hukum agama Islam yang direstui Allah masih lagi berjalan sedangkan kita yakin Allah dahulu dan Allah yang kita sembah hari ini adalah Allah yang sama juga. Hari ini pun daulat beliau sebagai waris mutlak masih ada walaupun beliau dicantas dan diperlekehkan disuatu masa dahulu (sebelum Undang-Undang Kedah di kembalikan dan diterbitkan). Beliau ada menceritakan kepada kami pengalaman beliau. Insyallah, masih masin mulutnya dan ada pihak yang cuba mengaibkannya, terkena tempiasnya.

Bukti yang jelas pun sudah ada iaitu manuskrip Undang-Undang Kedah. Ia berada di dalam tangan kita, apakah yang kerajaan dan raja-raja kita tunggu lagi? Apa sukar sangatkah untuk kita panggil dan bersemuka dengan beliau dan meminta penjelasan mengenai pendirian beliau?. Apa sukar sangatkah untuk kita menjawap surat-surat beliau yang di hantar secara rasmi?

Apakah pihak Istana Kedah lupa bahawa Sultan Badlishah, (ayahanda sultan Kedah sekarang) membesar dan bersahabat baik dengan keluarga beliau kerana kedua keluarga ini bersaudara juga adanya (keluarga besar dan keluarga kecil)? Bukankah Sultan Badlishah sendiri meminta waris mutlak ini disekolahkan di Kolej Sultan Abdul Hamid bersama anak-anak kerabat diraja Kedah yang lain dan kini menjadi sahabat baik beliau? Mustahil Sultan Kedah tidak mengetahui perkara ini kerana dahulunya baginda mengenali waris mutlak ini secara peribadi.

Apakah pihak kerabat di raja Kedah lupa lawatan mereka seramai 30 orang ke rumah beliau yang disambut dalam suasana kekeluargaan pada tahun 2001 dahulu? (Gambar pun ada sebagai bukti) Adakah mereka lupa pengumuman di satu majlis makan malam kerabat diraja Kedah dimana Datuk Tunku Hamdi selaku Presiden/Pengerusi mengumumkan "....keluarga Raja Besar Benua Islam Siam Kedah yang kita cari selama ini telah ditemui dan ada bersama kita malam ini?".

Kalau dah ditemukan semula, baguslah. Akan tetapi untuk makluman semua, beliau bukan berniat untuk menuntut takhta Kesultanan Kedah kerana Kedah hari ini hanyalah sebuah negeri yang kecil sahaja. Di zaman dahulu memang besarlah kerana ia sebuah negara. Keturunan beliau dahulunya pun bergelar Syah Alam Yang Maha Mulia, pemerentah negara Kedah. Mereka bukannya Paduka Seri Sultan yang menjadi raja daerah. Hari ini, Negara Kedah sudah menjadi Negara Malaysia. Mengikut logik akal, selayaknya beliau menuntut negeri Kedah atau negara Malaysia?


Adakah Persatuan Sejarah Cawangan Kedah terlupa keputusan "Forum Sejarah Realiti Kedah" yang diadakan pada 13 September 2006 dahulu dalam membincangkan perkara ini? Kami difahamkan ada niat untuk mencantas beliau sebagai penceramah pada malam itu akan tetapi dengan bukti Undang-Undang Kedah di tangan sewaktu berceramah mengenai salasilah keluarga beliau, orang lain pula yang terkena kerana tidak mengkaji kandungan manuskrip secara teliti (rakaman video pun ada) .

Nak bukti yang lebih jelas lagi? Nah lihatlah hari ini, kali ini dari Allah pula, kita dapat lihat mereka yang kononnya berkuasa sudah mula hilang kekuasaan dalam berkerajaan. Peristiwa yang kami kira menarik dalam 50 tahun kemerdekaan negara membuktikan kekuasaan hanya milik Allah, Tuhan yang Maha Esa. Tidak hairan jika agenda kehilangan kuasa ini menular ke bahagian/urusan lain jika tindakan tidak kita ambil kerana kita sudah mengetahui kisah sebenar dalam sejarah realiti. Bagi kami, itu baru sedikit Allah tunjukkan kekuasaannya. Ada lagi nak datang. Renungkanlah.

PS:

Hanya mereka yang tidak mengetahui sejarah sahaja memperjuangkan agenda ketuanan Melayu ini. Ketuanan Melayu adalah propaganda penjajah Inggeris untuk menyatupadukan pelbagai bangsa dalam wilayah penjajahannya, demi kepentingan mereka, padahal kita tahu kita terdiri dari pelbagai rumpun. Mereka tidak berbuat demikian di Sabah dan Sarawak, jadi pelbagai rumpunlah mereka di sana hingga ke hari ini. Nak kata Melayu pun tidak, tapi bumiputera Sabah dan Sarawak sahajalah.

Ada catatan yang kami temui mengatakan bahawa Melayu itu bahasa perdagangan di nusantara, bukannya bangsa atau kaum. Kenyataan ini adalah benar. Berkas ikatan kita adalah Siam dan dengan sebab itulah raja-raja kita masih lagi mengamalkan adat Siam, bukan adat Melayu. Ambil fahamlah bahawa Siam itu beragama Islam dan Thai itu beragama Buddha. Adat yang kita masih amalkan seperti meminang, hantar sireh pinang dengan kain, cincin sebentuk, pakaian kuning, payung kuning untuk raja adalah adat Siam, bukan adat Melayu. Semua ini ada tercatat dalam Undang-Undang Kedah di muka surat 36.

Penjajah Inggeris sudah berambus 50 tahun sudah, akan tetapi kenapa kita masih lagi memakai "idea" mereka dalam berkerajaan? Contohnya, kita patut menghapuskan saja jawatan Gabenor Pulau Pinang dan Melaka dan digantikan dengan jawatan Raja sepertimana Raja Perlis (atau mungkin Sultan) . Penjajah Inggeris memusnahkan Islam, menyembunyikan perundangan Islam (U-UK), merampas wilayah Islam dan menyerahkan kepada raja Thai Buddha yang bersubahat dengan mereka, merancang dan menulis semula Sejarah Melayu dengan peruntukkan dana, untuk memecahbelahkan Islam.

Penjajah Inggeris turut mengumpan segala kemewahan kepada raja-raja daerah agar engkar kepada Syah Alam Yang Maha Mulia dan menyerahkan wilayah seperti Singapura dan Pulau Pinang demi mendapatkan pengiktirafan sebagai sultan. Mereka turut menutup sejarah negara kita dan sejarah kekuasaan baginda, Syah Alam Yang Maha Mulia di Nusantara.

Tambahan: Lawatan rakan kami ke Phuket (lihat peta voyage map dikiri blog) 2 minggu lepas menemukan beliau dengan kawasan perkuburan orang-orang Islam dengan batu nisan sepertimana di Malaysia. Kawasan tersebut yang hampir seluas padang bola, dihilangkan dari pandangan umum dengan cara didirikan tembok tinggi sebagai pagar di sekelilingnya. Ia terletak di Patong beach, bersebelahan sebuah Hotel 5 bintang (jelas dari atas). Jika ada peluang berkunjonglah kesana.

Wednesday, April 16, 2008

Bahasa Melayu Kedah Di Selatan Myanmar

oleh ibnuhasyim

Baru-baru ini keluar berita mengenai ramai pendatang-pendatang Myanmar tanpa izin mati di dalam kontena telah dijumpai oleh pihak berkuasa Thailand, di kawasan Ranong. Ranong adalah sebuah bandar pelabuhan bersempadan dengan Selatan Myanmar… Hal ini mengingatkan saya kepada pengalaman melintasi sempadan melalui laut dari Ranong ke Victoria Island sebuah pulau, di hujung bawah selatan dalam negeri Myanmar.

Saya juga pergi-balik ke situ Thai-Myanmar dengan tanpa izin, iaitu tidak menggunakan pasport atau istilahnya secara haram. Tongkang kecil yang saya tumpangi sarat muatan kira-kira 30 penumpang melayari laut biru yang tenang masa itu. Sahabat saya orang tempatan menasihatkan supaya membuka cermin mata yang saya pakai, biar nampak macam orang tempatan yang biasanya nelayan-nelayan tidak pakai cermin mata, bila melalui pusat kawalan sempadan di pertengahan jalan.

Hal ini dilakukan supaya saya tidak ditahan imigresen kerana tidak tunjukkan pasport, menunjukkan betapa mudahnya menyeberang sempadan laut dari Myanmar. Tongkang kami terus membelah lautan kecil itu hingga ke distinasinya. Dari jauh nampak kesibukan penghuni-penghuni pulau kecil itu. Ramai orang Islam di situ. Menarik, bila sampai, saya lihat pekerja-pekerja kontek yang lelakinya mengangkat batu-bata cuma pakai kain pelikat, disenteng ke paras lutut sahaja.

Mereka lihat saya sebagai orang luar beragama Islam dengan begitu mesra. “As-salamu ‘alaikum?” Sapa saya.

“Wa’alaikumus salam warahmatullah!” Jawab salah seorang dari mereka.

Saya pergi solat sunat ke sebuah masjid di situ. Keluar dari masjid, tiba-tiba seseorang memberi salam dan bertanya saya dari mana…

“Dari selatan Thai.” Jawab saya.

“Heiyy.. Hang habak betui-betui, Aku tengok cara hang pun aku tau.. hang dari Malaysia.” Jawabnya dalam bahasa loghat utara. Kami bersalaman. “Jangan takut.. Di sini aman. Tak dak kacau-kacau. Jom kita jalan sama-sama.”

Begitulah, sesudah kami berjalan-jalan sekitar pekan itu, dia perkenalkan ramai kawan-kawannya, yang semuanya berbahasa Melayu loghat Kedah. Saya seolah-olah berada di negara sendiri, bukan di Myanmar lagi. Saya melawat beberapa kedai yang berderetan. Ada sebuah kedai berisi biji gajus, juga disebut ‘janggus’, yang penuh di dalamnya. Mungkin dari situlah dieksport ke Thailand. Banyak juga kedai yang menjual batu-batu permata dari Myanmar.

Begitu juga gelas-gelas dan barangan kaca mungkin buatan China. Ada peti besi bertulis ‘Made in Malaysia’ macam yang pernah digunakan oleh nenek saya di kampung Pulau Pinang dulu. Sakarang dah tak ada lagi. Ada minyak atar atau minyak wangi cap ular, juga sekarang sudah tak nampak lagi digunakan di Malaysia, kerana dulunya memang termasyhor. Ada minyak panas berjenama terkenal di Malaysia dulunya, iaitu ‘Tiger Balm’.

Di situ sempat pula seorang wanita muda jelita bertudung kepala, mungkin anak taukeh kedai itu bertanya saya, “Encik dari Malaysia? Boleh tolong dapatkan maklumat bagaimana saya nak masuk ke Unversiti Islam Antarabangsa (UIA) di negara encik?” Begitu, anggapan dan harapan mereka terhadap perkembangan Islam di negara kita. Lepas itu dalam perjalanan pulang, saya singgah di sebuah pulau bernama Pinggai, erti bahasa Melayunya ‘Tempayan Pecah’. Pulau tersebut walaupun bersempadan dengan Myanmar tetapi masih dalam negara Thai.

“As-salamu ‘alaikum? Selamat datang ke Pulau Ping Gai!” Kata pengulu pulau itu, semasa saya sampai di jeti pelabuhan dan berkenalan dengannya.

Ahli keluarganya yang bernama Tok Adam mula-mula meneroka pulau itu kira-kira ratusan tahun lalu. Adam berasal dari negeri Kedah, Semenanjung Tanah Melayu. “Tu pasai kami di sini semua cakap bahasa Kedah. Semua penduduk di sini beragama Islam. Takdak sekoq pun kapiaq Siam dok di sini. Macam tu jugak di Pulau Tongtong di sempadan balik sana.. di Myanmar. Semuanya Islam, cakap Kedah belaka. Depa pun kawan-kawan kita jugak.” Katanya lagi.

“Al-hamdulillah!”

“Jom ke rumah saya. Kita makan-makan. Lepas tu, kalau nak jalan-jalan melawat pulau ni boleh la. Hujung sana ada sebuah masjid, sekolah taman bimbingan Islam, cikgunya mai dari Pattani dan ada juga sebuah pusat kesihatan kecik kerajaan…”

Dari jeti saya diiring ke rumahnya. Di perjalanan anak mereka sedang mandi-manda di air laut yang sedang pasang. Berbogel.. dan terjun, menyelam, berkejar-kejaran. Ikan-ikan kecil berlarian di air yang bagaikan cermin jernihnya. Se sampai di rumahnya, isterinya terus masak nasi tengahari dengan ikan besar yang baru di tangkap dari laut sebagai lauk. Bila dimakan jelas terasa lemak manis dan sedapnya. “Al-hamdulillah! Allah pertemukan saya dengan mereka yang se agama di sini, tidak disangka-sangka!” Kotak fikir bergolak.

“Kalau nak jalan-jalan di pulau ni, silakan! Nak tidur dan bermalam di sini pun takpa, rumah saya sentiasa terbukak!!” Katanya ikhlas mempelawa saya. Saya sempat melawat sekitar pulau itu dan akhir singgah solat di masjid.

“Maaf. Saya memang suka tidur di sini, tetapi saya sudah berjanji dengan seseorang untuk tidur di rumahnya di bandar Ranong malam ini.” Saya jelaskan.

“Oh, kalau lagu tu takpa. Takpa nu. Kalau ada umuq lain kali kita jumpak lagi, insya Allah!!”

Masih terngiang-ngiang di telinga saya, pesanan akhir darinya sewaktu menghantar saya di pelabuhan. Katanya, “Bila hang sampai di Malaysia jumpak orang Kedah, kalau ada kesempatan kirim salam kat depa nu, kata kat dia… Nun jauh hampiaq ribu-ribu batu dari negeri hampa di ujung selatan Burma sana, ada sekumpulan manusia yang sama keturunan dengan hampa sama-sama Kedah, sama-sama cakap Kedah sedang teringat dan rindu kat hampa. Mai la ziarah kami, bila-bila masa saja, kami sentiasa tunggu dengan gembira! Mai la!!”

Hal ini berlaku kira-kira 10 tahun yang lalu. Bersambung.. Insya Allah.

Ps : Hari ini pun serupa juga, tiada bezanya. Sila saudara pembaca yang dihormati berkunjong ke blog ibnuhasyim di URL berikut: http://www.ibnuhasyim.blogspot.com/

Sunday, April 13, 2008

Penghargaan

Terima kasih kepada semua pengunjung blog sejarah Empayar Islam Benua Siam Nagara Kedah kerana terus memberi sokongan kepada kami.

Pada masa yang sama pihak kami ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada MAHAGURU 58 kerana mengulas beberapa artikel kami di blog beliau.

Posting beliau boleh dibaca disini,
http://mahaguru58.blogspot.com/2008/04/empayar-islam-benua-siam-kedah.html

Kami amat bersetuju dengan motto di blog beliau, " The truth must be told no matter what so that justice has a chance to live". Bagi kami, ia tidak jauh berbeza dengan prinsip yang kami amalkan dalam penulisan sejarah kami. Untuk itu kami ucapkan ribuan terima kasih.