Friday, June 8, 2007

Caj tinggi punca manuskrip Melayu tersimpan di Britain

BeritaHarian,11Julai2006
Oleh: Hassan Omar

KUALA LUMPUR: Beratus-ratus manuskrip Melayu lama yang tersimpan di beberapa universiti di Britain gagal dibawa pulang ke negara ini berikutan tindakan orang tengah di London meletakkan harga terlalu tinggi untuk mengaut keuntungan.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata antara manuskrip itu ialah surat antara Sir Stamford Raffles dengan British ketika mentadbir Singapura dan surat antara Gabenor Jeneral Farquhar dengan Raffles.

Rais berkata, kerajaan terpaksa berusaha membeli manuskrip itu berikutan undang-undang pemilikan intelek menyatakan secara jelas bahawa ia milik kerajaan British apabila ia dibawa pulang pengkaji Barat ke negara berkenaan ketika menjajah Tanah Melayu.

“Kami berusaha membawanya pulang tetapi harga yang ditawarkan orang tengah langsung tidak masuk akal. Oleh itu, kami tidak jadi membelinya,” katanya selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Manuskrip Melayu anjuran Arkib Negara dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Arkib Negara, Mohamed Zawawi Abdullah dan Ketua Pengarah PNM, Dr Wan Ali Wan Mamat.

Seminar dua hari itu mengumpulkan pakar kajian manuskrip Melayu tempatan dan luar negara bagi mewujudkan jaringan strategi antara institusi dan individu dalam dan luar negara untuk meningkatkan penyelidikannya pada masa depan.

Rais yang enggan menyatakan orang tengah atau universiti berkenaan menjelaskan, walaupun manuskrip itu tersimpan di beberapa universiti di Eropah, termasuk Universiti Leiden di Belanda, pengkaji manuskrip tempatan masih mampu memilikinya melalui salinan filemnya.

Mengenai pembangunan penyelidikan manuskrip Melayu tempatan, Rais berkata, kementerian menyediakan peruntukan besar bagi membolehkan pengkaji di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) meneliti sama ada Islam tiba di Tanah Melayu ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka atau melalui bukti Batu Bersurat Terengganu.

“Kami sedang berbincang dengan pengkaji tempatan. Kajian ini penting bagi menentukan tarikh sebenar kedatangan Islam di negara ini,” katanya.

Ditanya pendapat sesetengah pengkaji manuskrip dan sejarah, terutama melalui Hikayat Merong Mahawangsa bahawa kedatangan Islam bermula di Kedah berikutan beberapa artifak yang ditemui di Lembah Bujang, beliau berkata, kajian itu bakal menentukan kesahihan pendapat berkenaan.

Katanya, kajian kedatangan Islam di Melaka dan melalui Batu Bersurat Terengganu bakal membolehkan perbandingan dibuat mengenai pendapat bahawa Islam lebih awal tiba di Kedah.

Rais juga berkata, kementeriannya bakal menyediakan biasiswa khusus untuk penuntut peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang manuskrip Melayu berikutan kekurangan pengkaji bidang Filologi yang menjadi asas kajian berkenaan.


PS : Syukur kepada Allah menteri kita menjalankan tugas dan tanggungjawapnya dengan amat baik -anaianai

2 comments:

Dr. Aminudin Abdul Karim said...

Saya telah membuat penyelidikan tentang Bagaimana Islam datang kePahang dan didapati Islam mula sampai kepahang pada 1028,masehi,sila lihat kajian saya 1.Lembah Bama 2.hikayat seri Rama dan Hukum Kanun Pahang.

anaianai said...

Terima kasih Dr Aminuddin.