Thursday, July 19, 2007

ARTIFAK SEJARAH YANG DINANTI-NANTIKAN

OLEH JAAFAR AHMAD

Sungai Petani – Penemuan artifak-artifak bersejarah di kawasan Sungai Mas berhampiran Bandar Sungai Petani Kedah telah membuka lembaran baru dalam pengkisahan semula sejarah negeri Kedah dan juga sejarah Malaysia. Penemuan-penemuan ini amat disambut baik oleh Persatuan Sejarah Negeri Kedah dan ahli-ahlinya, sejarawan Kedah, peminat sejarah dan penyelidik-penyelidik dari institusi tempatan. Kewujudan sebuah Kota ketamadunan atau kerajaan lengkap dengan pelabuhan menjadi isu hangat di perbincangkan hingga kini dikalangan mereka di negeri Kedah.

Selain dari manik-manik dari pelbagai bentuk warna dan rupa, turut dijumpai batu-batu pelapik tiang, batu binaan dan yang menarik sekali sebuah makara yang masih elok. Makara tersebut berbentuk seperti Naga dan ia kebiasaannya di letakkan di pintu masuk ke istana atau bangunan yang runtuh tersebut. Di percayai terdapat dua makara di tapak tersebut (kanan dan kiri), satu telah ditemui (lihat gambar) dan satu lagi berada dibawah tapak rumah penduduk kampung. Makara ini dijumpai tertiarap disebelah sebuah tempayan batu yang masih lagi belum diangkat dari lokasi asalnya kerana terlalu berat. Walau bagaimana pun tiada patung-patung agama lain setakat ini di jumpai di kawasan tersebut kecuali sebuah kalung penganut agama Buddha. Bagi melancarkan kerja-kerja ekskavasi akeologi, penyelidik dan pelajar dari Universiti kebangsaan Malaysia, kawasan tersebut akan segera di ambil alih oleh pihak Muzium dan Antikuiti.


Makara ini dikatakan simbol Raja Merong Mahawangsa dan istananya didirikan sekitar tahun 720 masihi. Dalam bahasa Siam Kedah, Me rong bermaksud naga laut, Maha ialah pembesar dan wangsa ialah (puak) tentera harimau.



Turut ditemui ialah Datuk Seng, Ketua penduduk China dari Kota Kuala Muda, sebuah pekan kecil terletak 1 km dari tapak ekskavasi bersejarah ini. Menurut beliau generasinya telah datang ke Kedah semenjak tahun 1595 lagi . Orang-orang China yang menganuti agama Buddha mendirikan Tok Kong Poh Seng Tai Teh untuk penduduk agama Buddha sementara orang-orang China Islam pula mendirikan masjid, berkahwin dengan penduduk tempatan dan tinggal di kawasan Sungai Mas. Di Tok Kong tersebut ditemui sebuah batu dari negeri China yang dipahatkan lambang Naga, simbol Maharaja China dari Dinasti Ming. Menurut beliau lagi Makara yang ditemui di Sungai Mas adalah dari jenis kepala Naga air atau laut.


Dua batu berukir yang dibawa dari negeri China tersimpan di To kong Poh Seng Tai Teh, Kuala Muda. Amalan ini bukan amalan baru malah telah dipraktikkan jauh lebih awal dari tahun 1595.



Walaupun kedatangan mereka jauh lebih lewat dari binaan dan artifak yang ditemui di Sungai Mas yang dianggarkan berusia lebih 1,200 tahun. Ini membawa kepada zaman Raja Merong Mahawangsa yang pernah memerentah Kedah dan diriwayatkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Beberapa penyelidik yang ditemui mengatakan bahawa Raja Merong Mahawangsa beragama islam, adalah cucu kepada Maharaja China Sai Tee Sun dari Dinasti Tang. Sejarah negeri China juga ada menyebut bahawa utusan baginda Rasulullah S.A.W , Saad bin Abi Waqas pernah ke negeri China untuk menyebarkan syiar agama islam disana.

Menurut Abdul Ghani Lat, lulusan ekonomi kelas pertama Universiti Malaya yang juga ahli Persatuan Sejarah negeri Kedah, “ Penemuan artifak bersejarah ini bagi kami merupakan satu rahmat yang amat dinanti-nantikan. Begitu banyak sejarah dizaman silam hanya didengari dari mulut orang tua-tua, akan tetapi pada hari ini banyak bukti baru telah di temui lantas banyak mengiyakan apa yang diperkatakan oleh mereka sebelum ini”, ujar beliau yang fasih berbahasa thai dan juga bahasa Siam Kedah. Katanya lagi,"Bahasa Siam Kedah lebih mirip dengan bahasa Melayu berbanding bahasa Thai dan Almarhun Sultan Abdul Hamid juga fasih berbahasa Siam".

Tidak sampai 200 meter dari tapak tersebut terdapat sebuah makam yang dinamakan makam Langgar. Tunku Ibrahim adalah nama yang masih diingati oleh penduduk tempatan dimakamkan dikawasan perkuburan itu. Beliau terbunuh sewaktu berjuang menentang tentera Siam (thai) dalam tahun 1876 dahulu. Kawasan perkuburan tersebut luasnya anggaran setengah ekar namun terdapat hanya beberapa batang nesan sahaja. Penduduk tempatan mengatakan beratus orang dimakamkan disitu kerana mereka syahid dalam peperangan menentang Siam (thai) dan nisan tidak sempat didirikan lalu digantikan dengan ketulan-ketulan batu sebagai tanda.

Seorang penduduk tempatan yang enggan namanya disebut, turut cuba beberapa kali merapati kami bagi menceritakan sejarah dari pengetahunnya. Beliau mengatakan bangunan tersebut dulunya berdiri megah. Tentera thai dengan pertolongan Inggeris bertanggung jawab merobohkan bangunan tersebut dan menimbusnya sewaktu mereka menjajah Kedah dahulu. Buktinya, satu-satunya kalung milik mereka telah ditemui dikawasan tapak tesebut. Sekiranya ini benar-benar berlaku anggaran sewaktu Siam (thai) menjajah Kedah adalah sekitar tahun 1876-1881.

Walau apa pun pendapat yang kita dengar, rujukan yang dibaca, penemuan-penemuan baru ini merupakan satu titik permulaan naratif baru dalam sejarah bangsa Melayu yang mana ketamadunannya tidak lagi boleh dipertikaikan seperti dahulu. Ia juga telah membuktikan bahawa sejarah bangsa melayu bermula jauh lebih awal dari tarikh yang dijangkakan (tahun 1400, satu andaian sahaja) oleh pengkaji sejarah tempatan dan luar negara sebelum ini.

No comments: