Oleh Isma Ismail
isma@hmetro.com.my
jumaat 3 april 2009
dipetik dari, *My Metro.
KEMPEN bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak ini semakin hangat apabila sudah menjangkau empat hari dengan pelbagai taktik dilakukan oleh parti politik bertanding dan calon Bebas tunggal ‘beraksi’.
Namun di sebalik kehangatan itu sewajarnya direnungi sejarah terlakar di sekitar kawasan Parlimen berkenaan yang memiliki tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang.
Di Parlimen inilah tercatatnya sejarah landasan kereta api terbina di Malaysia apabila beroperasi 1 Jun 1885 di Kuala Sepetang yang dulunya dikenali sebagai Port Weld dan berdekatan dengan bandar Taiping yang terkenal dengan lombong bijih timah satu masa dahulu.
Mengikut sejarah juga Bukit Gantang satu ketika dahulu pernah dijadikan pusat pentadbiran Jajahan Larut oleh Long Jaafar selepas dilantik sebagai Raja Larut melalui pelantikan oleh ayahandanya Syed Alang Alauddin ibni Sultan Mudzaffar Syah III yang dikenali sebagai Panglima Bukit Gantang dan juga Maharaja Benua Islam Siam Kedah pada 1856.
Ketika diera pemerintahan Long Jaafar, Bukit Gantang dibangunkan dengan pelbagai kemudahan awam.
Pada masa itu, pendapatan utama bagi Jajahan Larut adalah perlombongan bijih timah yang diusahakan di Taiping.
Apabila Syed Alang Alauddin mangkat pada 1862, Long Jaafar dilantik menjadi Maharaja Benua Islam Siam Nagara Kedah bergelar Sultan Jaafar Muadzam Syah dan baginda melantik Ngah Ibrahim untuk menggantikan tempatnya sebagai Raja Larut yang memindahkan Pusat Pentadbiran Jajahan Larut dari Bukit Gantang ke Matang kerana berpendapat Bukit Gantang terletak agak jauh dari Taiping.Ketika Pusat Pentadbiran Jajahan Larut di Matang, Ngah Ibrahim menjadikan Pelabuhan Kuala Sepetang sebagai pelabuhan laut baru bagi menggantikan Pelabuhan Sungai Limau.
Bagaimanapun, pergolakan dan campur tangan penjajah Inggeris bermula pada era pemerintahan Ngah Ibrahim yang menyaksikannya dihukum buang negeri kerana terbabit dengan komplot pembunuhan Residen British pertama di Perak iaitu Sir James Birch.
Begitulah bibit sejarah yang pernah tercatat di kawasan ‘pertempuran’ tiga penjuru dalam pilihan raya kali ini.
Kini Parlimen Bukit Gantang mempunyai satu lagi tarikan baru iaitu mi udang yang cukup dikenali di Kuala Sepetang kerana terdapat puluhan kedai mi udang di kawasan itu dengan pelbagai menu berasaskan udang segar nyata membuatkan pekerja parti tidak mahu melepaskan peluang menikmatinya.
Dengan keadaan itu, peniaga dilimpahi durian runtuh apabila tidak menang tangan melayan pelanggan yang memenuhi kedai mereka hingga menyebabkan seorang rakan penulis begitu teruja mengira keuntungan diraih mereka itu.
Mengikut rakan yang berselera masakan mi udang goreng istimewa yang berharga RM13 sepinggan, peniaga mampu meraih pendapatan mencecah ribuan ringgit pada satu hari.
**********************************************************************************
PS ; Memang ada Sultan Jaafar lain dalam Sejarah Kesultanan Perak, akan tetapi Sultan Jaafar yang kami maksudkan ialah "yang melantik Ngah Ibrahim menggantikan tempatnya dalam tahun 1862". Inilah Yang Di Pertuan Yang Maha Mulia, Yang Di Pertuan Negara Kedah, Sultan Jaafar Muadzam Syah.
Dari buku "Cempakasari, Sejarah kesultanan Perak", M.A Fawzi Basri, ms148.
Sebagai menteri inilah baginda dikenali sebagai Long Jaafar dalam sejarah Perak. Setelah ayahanda baginda Yang Di Pertuan Yang Maha Mulia Syed Alang Alauddin Panglima Bukit Gantang mangkat dalam tahun 1862, baginda telah menggantikan tempat ayahanda baginda sebagai Yang Di Pertuan Kedah. Kekosongan jawatan beliau di Larut kemudiannya baginda serahkan kepada Enche@Nai Ngah Ibrahim bin Nai Ngah Lamad. Jangan tersilap, Raja Ngah Ibrahim adalah anakanda baginda Sultan Jaafar dan bukannya Enche@Nai Ngah Ibrahim bin Nai Ngah Lamad.
Anakanda baginda sebenarnya ialah Raja Ngah Ibrahim yang meninggal di Singapura dan dibawa balik ke Perak dengan kapal TLDM baru-baru ini. Raja Ngah Ibrahim berniaga barang-barang kemas dan berpindah ke Singapura apabila berlaku kekecohan di Perak. Beliau meninggal dunia di sana. Abang sulungnya ialah Raja Sulaiman dan adik perempuannya ialah Raja Alang Sapiah. Bonda mereka bertiga ialah Ngah Sepora.
Ngah Sepora pula ialah adik perempuan kepada ayahnya Ngah Ibrahim yang bernama Nai Ngah Lamad bin Megat Terawis (Ngah Ibrahim bin Ngah Lamad bin Megat Terawis).
Dalam lain perkataan Ngah Ibrahim ialah cucu kepada Megat Terawis dan Ngah Sepora (bonda kepada Raja Sulaiman, Raja Ibrahim dan Raja Alang Sepiah adalah anak Megat Terwis) adalah mak saudara Ngah Ibrahim. Raja Ngah Ibrahim dan Ngah Ibrahim adalah saudara sepupu. Maklumat ini diperolehi dari waris yang masih ada di Kedah.
Yang pastinya, mereka semua adalah waris Khalifah Syarif Abu Bakar Syah ( @ Raja Nambang-air telok @ Raja Bakar @ Syarif Abu bakar) bergelar Boromoraja Ekataat V, Mahadammahayaza, dan permaisurinya Tunku Suriya Marin ibni Tok Pasai (Tok Pasai adalah cucu Narai Iskandar Mahkota Alam @ Hang Tuah).
Baginda berdua adalah Maharaja Benua Islam Siam Dinasti Ayuthia yang ke 33 (terakhir) , diusir bersama pengikutnya dari Ayuthia dalam serangan Sukhothai tahun 1767 dan akhirnya dibunuh oleh tentera thai di Istana Kota Meang Kuang dalam tahun 1821 (lihat salasilah dan artikel kami dibawah).
Hari ini, barulah jelas kepada kita sejarah bangsa kita. Yang kita ada di Perak hari ini adalah dari keturunan raja boneka lantikkan penjajah Inggeris bermula dari tahun 1874 dan mula berkuasa sepenuhnya melalui penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang mereka tandatangani pada 31 Januari 1948 sahaja. Pada tarikh inilah mula wujudnya raja-raja melayu di semenanjung tanah yang telah di "melayu" kan.
Terdahulu dari itu siapakah Yang Di Pertuan Agong kita di Semenanjung Melaka?