Monday, December 20, 2010

Kembalikan Pulau Pinang kepada Sultan Kedah —

-Zaini Hassan

15 Dis — Saya dan profesor kajian alam Melayu, A. Murad Merican mempunyai kepercayaan yang sama. Pulau Pinang harus dikembalikan kepada kerajaan Kesultanan Kedah. Bukanlah kerana saya orang Kedah dan Murad orang Pulau Pinang, maka kami bersetuju dengan cadangan itu.

Tapi ia adalah berdasarkan fakta sejarah.

Asal cadangan itu datangnya dari Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wan Shamsuddin Mohd. Yusof melalui kenyataannya kepada Bernama 1 Disember lalu.

Berita itu bertajuk: Kedah dicadang tuntut semula Pulau Pinang:

“PSMCK mencadangkan supaya Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah kerana negeri tersebut pada asalnya kepunyaan Kedah.

Pengerusi PSMCK, Datuk Wan Shamsudin Mohd. Yusof berkata, cadangan itu ditimbulkan kerana Pulau Pinang adalah hak milik Kedah sebelum berlakunya perjanjian antara Sultan Kedah dan British pada 1786.

“Setelah negara kita merdeka pada 1957, Pulau Pinang yang dijajah sepatutnya dikembalikan kepada Kedah sepertimana Dinding dan Pangkor dikembalikan kepada Perak. Tetapi Pulau Pinang tidak dikembalikan kepada Kedah dan terus dijadikan sebuah negeri yang berasingan,” ujarnya kepada pemberita.

Dalam perjanjian yang dibuat antara Sultan Kedah ketika itu, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah dan Leftenan Gabenor Pulau Pinang, Sir George Leith Baronet pada tahun 1800, Pulau Pinang dipajak untuk menampung keperluan ekonomi pada masa itu.

Pada ketika itu, Pulau Pinang dipajak dengan harga 6,000 manakala Seberang Prai dipajak dengan harga 4,000 dan pihak British membayar wang tersebut kepada Sultan Kedah dengan menggunakan mata wang Sepanyol.

Menurut Wan Shamsudin, Pulau Pinang dan Seberang Perai disifatkan masih hak milik Kedah kerana duit pajakan masih dibayar oleh Kerajaan Pusat dengan nilai RM10,000 setiap tahun kepada kerajaan negeri Kedah pada masa ini.

“Pembayaran pajakan masih wujud sehingga kini dan ini bererti, keadaan tersebut masih wujud dan tidak salah untuk Kedah membuat tuntutan,”jelasnya.

Tambahnya, pihaknya akan mengadakan satu seminar dengan pakar-pakar sejarah untuk mengumpulkan fakta-fakta dan bukti yang berkaitan dengan sejarah Pulau Pinang yang dahulunya di bawah naungan Kesultanan Kedah.

“Kami juga akan menyerahkan bukti dan fakta tersebut kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dan terserah kepada mereka untuk menuntut semula Pulau Pinang atau tidak,”katanya.

Tanpa menjelaskan siapa pihak yang bertanggungjawab itu, Wan Samsudin berkata, tugas PSMCK ialah untuk menyuarakan kembali perkara itu memandangkan ramai pihak mula terlupa tentang sejarah sebenar negeri Pulau Pinang.

“Sama ada pihak tersebut mahu menuntut semula Pulau Pinang atau tidak itu terserah kepada mereka.

“Kami suarakan perkara ini kerana tidak mahu sejarah negeri Kedah dan Pulau Pinang terus dilupakan,”katanya.

Namun bukan semua orang menyenangi dengan cadangan itu. Ada yang mengatakan jika itulah pandangannya maka Tanah Melayu harus dikembalikan kepada Orang Asli?

DAP sudah tentu tidak mahu menyerahkan Pulau Pinang kepada Kedah. Mereka juga sudah tentu tidak bersetuju dengan pandangan dan cadangan itu. Pulau Pinang bagi DAP ialah kubu terkuatnya (sekarang).

Sejarah Pulau Pinang, sudah tentu mereka 100 peratus bersetuju, hanya bermula dari kolonial Inggeris, Francis Light. Bukannya dari kesultanan Melayu Kedah. Mereka juga percaya Raffleslah yang membuka Singapura. Bukan kesultanan Melayu.

Namun, cadangan Wan Shamsuddin itu mesti dipertimbangkan dengan wajar dan serius. Patik — Ahli Mahkota Kedah ini — berharap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan dapat meneliti perkara ini sedalam-dalamnya.

Umumnya komen-komen yang diutarakan dalam siber bagi mencantas cadangan itu jelas memperlihatkan kedangkalan sejarah dan persejarahan di kalangan rakyat Malaysia. Pemikiran dan sikap mereka dalam hal ini bersifat kebudak-budakkan sehingga ada mengatakan bahawa jika kita hendakkan yang asal, mengapa tidak kembalikan Tanah Melayu kepada orang asalnya, Orang Asli.

Beberapa lagi komen menjurus kepada mencabar kedaulatan Malaysia — dari segi mengembalikan negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, Thailand dan Sabah kepada Filipina.

Wan Shamsudin telah membangkitkan satu isu penting dalam sejarah dan persejarahan negara, bukan hanya kaitan Kedah dan Pulau Pinang. Ini adalah kerana sekian lama, sejarah dan persejarahan Malaysia, sama ada sengaja atau tidak, wujud dalam keadaan pelbagai kelompongan.

Saranan Wan Shamsuddin perlu disokong lalu diteliti dan dihalusi implikasinya dari segi sejarah dan persejarahan pasca kolonial. Kita bukan menolak kedatangan Inggeris dan kuasa barat ke Alam Melayu. Apa yang penting ialah usaha berterusan memberi tafsiran dan konteks yang lebih wajar kepada alam dan geopolitik kesultanan Kedah.

Murad juga dalam kenyataan akhbarnya menyebut, perjanjian memajak Pulau Pinang antara Sultan Kedah dan British pada 1786 dan 1800 tidak pernah menyebut bahawa ia tidak boleh dimansuhkan atau akan tamat pada tempoh tertentu.

Oleh itu, katanya tidak mustahil jika Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah jika ia dituntut sekarang. “Pulau Pinang boleh dijadikan satu daerah atau wilayah khas dalam Kedah jika ia dikembalikan kepadanya.”

Kata Murad, selama ini rakyat Malaysia hanya menganggap sejarah kewujudan Pulau Pinang berlaku pada 1786 iaitu apabila British mula sampai ke negeri itu. “Namun sebenarnya sejarah Pulau Pinang dan orang Melayu telah terpendam. Jika Kedah mengambil semula Pulau Pinang, ia sama sekali akan mengubah sejarah negeri itu,” jelas beliau.

Bagi menjelaskan lagi senario sejarah ini, saya menyarankan Persatuan Sejarah Malaysia dapat mengadakan seminar seperti cadangan Wan Shamsuddin itu seberapa segera. Pulau Pinang harus dikembalikan kepada hak kesultanan dan tamadunnya yang asal.

Kerajaan Pusat juga harus mengikuti perkembangan ini dengan teliti.

Bagi mendapatkan ruang bicara mengenai cadangan dan pandangan ini, Prof. Murad yang juga Ketua Kluster Penyelidikan Kajian Oksiden di Alam Melayu, Universiti Teknologi Petronas memberi analisis impirikal ringkasnya mengenai hal ini. Katanya cadangan itu membuka perbincangan yang penting bukan hanya dari segi kedaulatan kesultanan Kedah (yang tertua di dunia dan Malaysia), tetapi juga usaha berterusan mengeluarkan sejarah dan persejarahan Malaysia dari kepompong kolonial Inggeris.

Ikuti tulisan beliau:

Dari sudut Perlembagaan Persekutuan, cadangan Datuk Wan Shamsuddin itu tidak bercanggah dengan undang-undang negara. Mengubah sempadan sesebuah negeri diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Bahagian 1, Artikel 2, tertakluk kepada persetujuan Dewan Undangan Negeri terbabit dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Kita juga seharusnya tidak mengenakan sekatan pemikiran dan pergerakan untuk meluruskan masa lalu demi generasi masa depan. Kita maklum bahawa apabila Inggeris dan Belanda bertapak di Kepulauan Melayu, mereka melakarkan sempadan geopolitik. Ini membawa maksud mencampur tangan dalam hal ehwal masyarakat dan kerajaan Melayu.

Apa yang berlaku pada hakikatnya ialah pihak Inggeris telah campur tangan dalam hal-ehwal kesultanan Kedah. Dan campur tangan ini bermula lebih awal daripada Perjanjian Pangkor 1874.

Maka wujudlah nama-nama seperti Light, Scott dan Leith yang dikaitkan dengan sejarah Pulau Pinang dan seterusnya Malaysia. Maka pelbagai buku dan bahan tentang sejarah Pulau Pinang mengandaikan bahawa Pulau Pinang hanya mempunyai sejarah selepas mendaratnya Francis Light di Tanjung Penaga pada 11 Ogos 1786, dan seterusnya perjanjian pada tahun yang sama dan pada tahun 1800.

Akibat dari perjanjian-perjanjian tersebut, alam Melayu mula dikotak-katikkan “ khususnya jajahan Kesultanan Kedah, kerajaan Melayu yang tertua di Malaysia dan kerajaan beraja yang tertua di dunia.

Jika kesedaran umum bahawa “segala-galanya” bermula dari Melaka, maka kita memesongkan sejarah. Ini tidak semestinya kita mengetepikan Melaka yang merupakan asas kepada institusi dan sistem kerajaan di Malaysia kini.

Namun demikian, kesedaran ruang dan masa yang lebih awal dari itu amat kritikal sekali dalam penulisan sejarah negara dan perlu diketengahkan pada tahap akademik dan popular.

Dan apabila kita baca penulisan tentang sejarah Pulau Pinang, Kedah hanya dirujuk dalam konteks Sultan Kedah membuat perjanjian dengan Francis Light. Lebih dari itu, Kedah hilang dalam persejarahan Pulau Pinang.

Begitu juga dengan pelbagai penulisan tentang sejarah Kedah. Apa yang saya perhatikan ialah persejarahan Kedah setakat ini tidak memberi penekanan kepada Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada Kesultanan Kedah. Persejarahan Kedah juga menjadi mangsa kepada perspektif kolonial, yakni, menerima sebagai hakikat bahawa sejarah Pulau Pinang asing dan berbeza dengan sejarah Kedah.

Persejarahan Kedah memandang sepi penempatan Melayu Pulau Pinang dan warisan Kedah di pulau itu kecuali salah satu kertas kerja Datuk Wan Shamsudin beberapa tahun lalu yang ada menyebut penempatan Melayu sebelum kedatangan Inggeris.

Malah akibat daripada perjanjian dalam tahun-tahun tersebut, perhubungan Kedah dengan wilayah-wilayah di Sumatera pun tidak ditonjolkan seolah-olah tidak ada kesepaduan tradisi, bahasa, agama dan budaya di antara Kedah dan wilayah-wilayah tersebut.

Beberapa tahun lalu dalam syarahan saya pada PSMCK di Alor Setar, saya menganjurkan bahawa sejarah dan persejarahan Pulau Pinang mesti lari dari sudut kolonial lalu mencadangkan bahawa ia dilihat dari perspektif negeri dan Kesultanan Kedah.

Cadangan Datuk Wan mempunyai implikasi kepada sejarah negara. Tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh luruskan persejarahan. Tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh mengubah geografi alam kita sendiri demi menerokai satu ruang lapisan sejarah yang telah disisih.

Asal usul negara bangsa Malaysia perlu dihalusi dan dibincangkan secara terbuka. Kenyataan-kenyataan yang tidak menggambarkan hakikat hendaklah ditangani sewajarnya demi masa depan.

Sebagai contoh, sebuah buku yang diterbitkan pada tahun 2007 dengan tajuk Malaysian Chinese and Nation-Building: Before Merdeka and Fifty Years After (Penerbit: Centre for Malaysian Chinese Studies, Kuala Lumpur) telah menyatakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara bangsa bermula dengan pembukaan (founding) Pulau Pinang pada tahun 1786.

Bab satu buku itu yang bertajuk “State and Nation: An Overview and Malaysian Perspective,”menyatakan bahawa dari situ, perkembangan seterusnya telah menjurus kepada pembentukan satu politik.

Dalam perbincangan pembentukan Malaysia, buku itu menekankan kepada warisan undang-undang dan pentadbiran British sebagai asas kesamaan wilayah-wilayah di Malaysia (ms.10).

Wacana-wacana sebeginilah yang memesongkan sejarah dan persejarahan Malaysia. Apakah ia mengandaikan bahawa Malaysia tidak ada sejarah sebelum 1786? — Utusan Malaysia

18 comments:

Anonymous said...

Kalau kamu cakap Pulau Pinang mesti dikembalikan pada Kedah atas alasan pejanjian sewa RM10,000 tu masih valid, aku tak setuju tu.


Ini mengundang masalah lebih besar.

Kes ni akan dijadikan alasan Filipina untuk menuntut tanah Sabah. Waris Sultan Sulu sekarang masih terima RM5000 setahun dari kerajaan malaysia, atas bayaran pajakan negeri sabah. Jadi, Filipina akan gunakan kes Kedah vs PulauPinang untuk membiara kes Sultan Sulu vs kerajaan Malaysia.


Kamu sangguh hilang sabah?

ariff55 said...

mungkin waris sultan sulu (siapa dia? tentu kerabat raja siam jugak) so filifina beri balik kerajaan dia kpd waris sultan sulu ni kan
Malaysia bayar RM5000 kpd waris sulu bukan kerajaan filifina so sabah tu hak raja sulu bukan hak kerjaan filipina

Arsyad wa al-Ddin said...

klu filipina wat mcm 2.,.kenapa x kembalikan tanah melayu ni pada ISLAM yang sebenar.,.,???

ketauilah sejarah melayu yg sebenar benr nya.,.,anda telah tertipu oleh tipu daya orang kafir.,.,

BERHATI-HATILAH.,.,.

Katon Tin Ton said...

itu antara 2 negara
ini antara 2 negeri

T H E . M A L A Y . P R E S S said...

Satu bab:
Filipina harus diserahkan kembali kepada Kesultanan Islam sebelum kedatangan Sepanyol dan Amirika.

Sabah mempunyai pejuang mereka sendiri yang tidak akan tunduk kepada pemerintahan kristian yang terkemudian datang daripada mereka...

Satu bab:
"Namun bukan semua orang menyenangi dengan cadangan itu. Ada yang mengatakan jika itulah pandangannya maka Tanah Melayu harus dikembalikan kepada Orang Asli?"

Ini satu soklan dan analogi bodoh lagi dangkal! Puak-puak Cina Selat (aliran Sun Yat Sen) yang tahu depa ni pendatang. Pedagang-pedagang China terdahulu dari depa dulu tak kecoh pun, dan sememangnya kedaulatan pemerintah di 'Melaka' diiktiraf oleh Empayar China...kalau dak kenapa Sultan Melaka jadi MENANTU Great Sultan of China...

Puak Gee Hin dan Hai San mai sini pun sapa yang jemput kalau bukan Sultan Jaafar...

Puak-puak DAP/MCA ni memang x puas hati sebab tulah guna alasan bodoh menggunakan orang Asli sebafai scapegoat...orang Asli pun tahu hormat kat Sultan ... bengong!

Masalah hari ini, orang-orang Melayu mesti tahu membeza siapa yang digelar pendatang yang ingin sangat menggangu gugat keharmonian dan kedaulatan Tanah Melayu ni...POLITIK puak2 Cina Selat bawaan British ni lah puncanya...

Islam datang ke Nusantara/Sumatera/Semenanjung lebih awal dari apa yang didakwa oleh puak2 Orientalis Barat...

Nantikan kisahnya.

bummerbummer said...

kalau politik menjadi masalah, lucutkan jawatan gabenor ganti ketua negeri dengan sultan kedah. realiti status quo tapi dalam dokumen pulau pinang jadi sebahagian negeri kedah. china pun boleh ada dua sistem, yang lain tu semua alasan

razzimania said...

sungguh cetek fikiran saudara naisophon.. apa hubungkait isu pulau pinag dengan sabah klu bukan menjurus kepada fikiran dangkal politik murahan yang meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya..Rata2 saya rasa lebih rela hilang sabah jika itu yang menjadi galang gantinya.kita tidak mahu p.pinang jadi seperti singapore yg mengubah sejarah ikut acuan fikiran cetek @ chuvanis puak2 yang bertuhankan politik.. penjajah inggeris telah mngambil kesempatan di atas budi baik sultan kedah dan telah memutarbelitkan sejarah hingga mengarang citer karut mengatakan pulau pinang di buka oleh francis light..kesian anak cucu bangsa melayu ditipu oleh british..hanya manusia yang bertuhankan politik cetek dan berpaksikan ideologi inggeris sahaja yang akan menolak cadangan ini..Syabas kepada Datuk Wan Syamsudin dalam mengetengahkan isu ini..harap usaha datuk diberkati Allah..Amin!!

Mazlan Taat said...

ini masalah adalah dalaman saja jangan heret keperingkat antarabangsa. Sabah adalah melalui undian semasa kemasukkan kedalam malaysia dan sejarah kedah sudah diketahui melalui pajakan dan pengambilan atau pemulangan pulau pinang kepada kedah tidak akan mengubah sejarah penubuhan malaysia kerana sebenarnya keluasan kedah lebih daripada itu.

Jika pulau pinang masih kekal sebagai negeri pun, eloklah segala duitan pajakan itu dipertimbangkan. Elok dirunding semula mengunakan formula harga perkaki atau meter mengikut pasaran semasa dan dibahagikan dengan tempoh pajakan misalnya 100 atau 200 tahun.

Ini matematik mudah, jika sekaki harga semasa secara pukulrata adalah rm3.00 per kaki, jadi didarabkan dgn keluasan pulau pinang dan seberang perai dan dibahagikan dengan tempoh pajakan selama 100 atau 200 tahun. cuma jumlah itu sahaja dibayar kepada kedah selama tempoh pajakan terbaru.

Dulu pun pulau pinang terlepas kepada inggeris atas dasar kerjasama dua pihak dengan jaminan perlindungan tetapi sultan kedah tertipu dengan helah inggeris apabila tidak memberi kerjasama dengan kedah apabila diserang. Jadi kedah marah cuba membalas dendam tetapi tewas dgn inggeris kerana kekuatan senjata mereka pada masa itu sedangkan tentera kedah hanyal mengunakan senjata tangan.

Bukan sengaja pulau pinang terlepas kepada inggeris tetapi seolah secara paksaan tetapi ditutup dengan pajakan demi menjaga hati sultan kedah pada masa itu.

Kalau dikaitkan dengan sabah adalah tidak wajar kerana sabah melalui UN dan undian tersebut menjadikan warga sabah pasa masa itu memilih Malaysia dan ini sudah pun tertulis didalam perlembanggan dan undang2.

Kerana inggerislah kita kehilangan 5 wilayah selatan thailand, termasuk sebahagian kepulauan riau dan lain-lain.

Adalah wajar Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah atau kadar sewa pajakan dinaikan segera. Banyak lagi kedah berkorban kerana pulau pinang seperti penebangan hutan, air sungai muda dan lain2 tanpa mendapat apa-apa imbuhan dari persekutuan.

Sedangkan pulau pinang kaya raya dengan hasil daripada kedah dan terus maju dengan meninggalkan kedah dibelakang.

SAYA RASA PATUT KEDAH MENUNTUT KEMBALI PULAU PINANG.

T H E . M A L A Y . P R E S S said...

Kalau begitu maka sultan sulu itu wujud, dan kena kaji la balik asal kesultanan sulu. maka diakhirnya nanti jika benar segalanya, maka bukan filipina yang akan menuntut Sabah, tetapi Sultan Sulu yang akan menuntut filipina/sabah dan borneo.


baik atau tidak itu perkara no 2, yang penting baik untuk umat Islam keseluruhannya.

Alhamdulillah said...

kami dari ngo melayu islam bersatu menyokong, Pulau Pinang di kembalikan pada Sultan Kedah, harap sultan dapat buat sesuatu

Don Balon said...

Bravo MalayPress..
Teruskan usahamu menegakkan sejarah melayu yang sebenar..
Moga orang melayu tidak terus percaya kepada puak2 kaduk naik junjung tersebut..

Unknown said...

Pulau Pinang DAN Perlis perlu dikembalikan kepada Kedah kerana:
Kos yg tinggi mempunyai 3 menteri besar dan dewan rakyat.
Belum dikira pebagai jawatan Pengarah dan sebagainya yg lebih bersifat birokrasi dan bukan membantu rakyat sama sekali.
Jangan lupa juga berapa kos mengendali istana TYT dna Raja Perlis pula dan tidak ketinggalan semua pencen yang perlu dibayar kepada waris mereka.
Lebih baik kita ada Negeri Kedah sahaja. Pulau Pinang dengan 5 dearahnya bergabung dengan Kedah dan Perlis dengan 1 daerah sahaja.
Jadi Kedah tambah daerah pentadbiran.
Kalau itu pun kos tinggi, maka Pulau Pinang boleh ada 1 daerah di atas pulau dan 3 daerad di Seberang Perai. CUKUP murah dan menjimatkan duit rakyat.

AFIQ AZIZI said...

artikel ini dikeluarkan oleh utusan yg jelas skali bermotifkan politik.kenapa sekarang baru terkial-kial rujuk sejarah.sblm nie kamu melupakan sejarah.benar kata ilmuan,"siapa yg melupakan sejarah pasti akan mengulangi sejarah itu".tidak kira siapa yg memerintah,keutamaan dan kecintaan kpd negara itu lebih utama

atas semangat federalisme yg menjadi tunjang kita selama 54 thun.tak perlu la diungkit2 mengenai kisah ini.cukup sekadar kita tahu asal usulnya.

wayangkulit kuala nerang said...

assalamualaikum.....sy shazmin azuan,sy nk tahu serba sedikit ttg keturunan sy..boleyh x cerita sedikit...penah x dgr cerita ttg tuan hj daud imam msjid kuala nerang bertempur dgn panglima taib pada masa tu panglima taib nk cari org tuk buat terusan wan mat saman...boleyh tlg cerita x??mna tahu ada susur jalur dgn kerabat..sbb kitab hasil tgn allahyarham disimpan elok oleh keluarga hinnga hari ini yg mna berusia lebih kurang 115 tahun....tlg sy..sbb xde trtulis pown semua ni dl sejarah negeri kedah

zubin said...

salam, membuka persoalan ini akan membuka banyak lagi benda untuk dibahaskan, tapi ia tak cukup sekadar dibahaskan tanpa bukti yang sahih. Saya sedar P.Pinang milik Kedah tapi sultan kedah telah membuat perjanjian melepaskannya, begitu juga dengan Singapura, serta jajahan yang lain termasuk Pattani, Yala, Satun, Narathiwat. Di mana kita nak menggariskan tarikh di mana ianya bermula. Malaya pula mungkin milik India atau China, bagaimana? Untuk membincangkan ini kita harus tidak membicarakan ia dengan sentimen Islam, Melayu, tidak samasekali dari perspektif partai, tapi semata2 kebenaran.

angahthani said...

NI maksud SIAM....Sanjung Ya ALLAH MUHAMMAD....Dalam ejaan JAWI....sekiranya dihuraikan.....iklas dr Ta'Long.....

angahthani said...

Korang ni main cakap jer itu serah kat ni lah...saner tuh serah kat dia tu lah.....nih kita ni pun dijajah lagi.....duduk bawah tapak kaki inggeris.....kebanyakkan pemimpin...cium pungkok...inggeris....kapir lakhnat.....jgn main cakap jer....siapa kita ni.....bumi ni bukan milik manusia....Shah Alam tuh bila nak buat keputusan dia mintak izin....dulu....kita tak payah nak sibuk kerja Dia.....pikirkan mcm maner nak kembalikan maruah Agama Bangsa....Keluarga....tu dulu.....iklas Dr Ta'Long....

angahthani said...

askum saudara semua......masaalah yg sebenar skarang ni ....bukan pineng...bukan sabah....masaalah nyerr kita masih dijajah....kita masih dibawah british....yg pertama skali kene paham... siam tu aper....bangsa melayu yg dikatakan tu macam maner....kalau dasarnyer x paham....mcm maner....org munafik dan kafir ni boleh putar belitkan kenyataan...saudara....pahamkan dulu kain batik tu....kalu saudara...benar2 pewaris....SIAM....kalau dipecahkan dlm ejaan jawi....bermaksud....SANJUNG YA ALLAH MUHAMMAD....macam maner nak sanjung selagi terikat dgn mat salleh lakhanat......penghianatan tunku abd rahman.....memang hebatttt....PATHANI AKAN KENANG SEHINGGA HARI KIAMAT.....ALHAMDULILLAH....